Selepas Carlo Ancelotti menyatakan persetujuan untuk mengendalikan skuad kebangsaan Brazil bermula Jun 2024, perkara yang mencuri tumpuan pada ketika ini berkenaan siapakah bakal menjadi pengganti beliau di Real Madrid.

Walaupun masih ada kira-kira setahun lagi, sudah ada beberapa nama dikaitkan untuk menggalas tanggungjawab berat bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Menurut sumber laporan Goal, terdapat empat bekas pemain Real Madrid yang merupakan legenda kelab tersebut untuk mengisi kekosongan bakal ditinggalkan Ancelotti itu.

Calon pertama tidak lain dan tidak bukan iaitu Zinedine Zidane yang cukup sinonim dengan Los Blancos apabila beliau pernah membimbing pasukan pada dua fasa berbeza.

Bermula tahun 2016 hingga 2018, beliau kemudiannya kembali mengisi jawatan panas itu pada 2019.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah mengemudi Real Madrid dalam muncul selaku pemenang Liga Juara-Juara Eropah sebanyak tiga kali serta dua kali bergelar juara La Liga.

Selain itu, Xabi Alonso yang sebelum ini membimbing Bayer Leverkusen turut disenaraikan sebagai antara calon untuk bergelar pengurus Real Madrid.

Pengurus kelahiran Tolosa, Sepanyol itu pernah beraksi bersama Real Madrid bermula musim 2009/10 hingga 2014/15 dan kemudiannya memilih untuk berhijrah ke Bayern Munich.

Dua lagi nama dikaitkan dengan jawatan tersebut ialah Raul Gonzalez Blanco yang kini bertindak selaku jurulatih di skuad Castilla Real Madrid serta jurulatih skuad remaja, Alvaro Arbeloa.

Real Madrid sememangnya pasukan yang sentiasa memberikan ruang kepada bekas pemain mereka untuk dijadikan sebagai pengurus pasukan.

Zidane, Santiago Solari, Julen Lopetegui, Vicente Del Bosque dan mendiang Alfredo Di Stefano merupakan antara contoh pengurus yang merupakan bekas pemain kelab tersebut.

Sumber