Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam mengumumkan  pemain legenda Argentina, Javier Zanetti tidak dapat hadir menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih 2023 menentang Terengganu di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Javier Zanetti bukanlah nama asing dalam arena bola sepak antarabangsa. Kapten legenda Inter Milan itu digelar Mr. Inter Milan kerana kesetiaannya kepada kelab itu.

Inter Milan satu satunya kelab Zanetti di Eropah. Dia menyarung jersi kelab itu dari 1995 sehinggalah 2014. Dia juga memiliki 145 kaps untuk Argentina di dalam kariernya.

Zanetti turut menjadi kapitan yang membantu Inter memenangi treble ketika era Jose Mourinho menjadi pengurus.

Bagaimanapun, JDT dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan lagenda Brazil, Julio Cesar yang juga bekas penjaga gol Inter Milan akan hadir sebagai tetamu istimewa.

“Javier Zanetti, naib presiden dan legenda kelab Inter Milan akan mengunjungi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di kemudian hari disebabkan oleh komitmen peribadi tetapi Harimau Selatan akan mengalu-alukan kehadiran Julio Cesar, pemenang Copa America 2004 dan dua kali Piala Konfederasi FIFA bersama Brazil dalam perlawanan Piala Sumbangsih menentang Terengganu.

“Cesar, yang telah memenangi Piala Dunia Kelab 2010, Liga Juara-Juara UEFA 2010, lima kejuaraan Serie A dan 7 Piala Itali bersama Inter Milan, akan berkunjung ke JDT untuk berbincang mengenai potensi selaku duta kelab.

“Harimau Selatan juga akan melantik lebih ramai duta kelab pada masa akan datang untuk mengembangkan lagi jenama JDT ke seluruh dunia” tulis kenyataan rasmi.

Selain daripada Zanetti, JDT turut menerima kunjungan Naser Al Tamimi serta ejen bola sepak terkemuka Morris Pagniello.

Tetamu tersebut juga akan mengambil kesempatan untuk meninjau ninjau keadaan di kompleks sukan JDT.

Dalam kenyataan yang sama, JDT menyatakan bahawa lawatan ni adalah peluang untuk JDT melebarkan lagi jaringan hubungannya di peringkat antarabangsa dengan tokoh dan organisasi ternama di seluruh dunia.