Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham berkongsi situasi sebenar mengenai salah seorang pemain import pasukan, Carli de Murga.
Baca Juga:
- JDT vs TRW Kelantan: Zamsaham Cari Penaja Terbangkan Pemain Ke Johor
- TMJ Kepada Liridon Krasniqi: Suruh Kawan Kamu Bayar Gaji
- Negeri Sembilan vs JDT: K. Devan Beri Penjelasan Mengenai ‘Kehilangan’ Herold Goulon
Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, Zamsaham menegaskan Carli de Murga tidak dapat diturunkan ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super 2023 baru-baru ini kerana pemain itu mengalami kecederaan.
“Carli ketika berdepan Penang pada minit ke-78 mengalami kecederaan. Dia digantikan dengan Arif masa tu. Dia benar-benar sakit. Doakan kesihatan beliau,” kata Norizam.
Pada masa yang sama, Zamsaham mengajak peminat untuk bersangka baik dalam semua perkara terutamanya pasukan.
“Bersangka baiklah. Bila sampai masa kita akan tahu kebenaran. Yang buruk kita tahu, yang baik pun kita akan tahu. Jalan terus,” tambahnya.
Sebelum ini, peminat Kelantan tertanya-tanya mengapa Carli tidak dapat diturunkan bagi menentang pasukan besar seperti JDT dalam saingan liga.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim semalam, JDT berjaya mencatat kemenangan besar dimana mereka menewaskan Kelantan dengan keputusan 5-1.
Pesta gol Harimau Selatan bermula seawal minit pertama apabila Diogo Luis Santo menolak masuk bola muntah ketika Fernando Forestieri gagal sempurnakan sepakan penalti.
25 minit kemudian, giliran Endrick Dos Santos mencatat nama sebagai penjaring apabila merembat kencang gol kedua dalam kawasan kotak penalti selepas menerima umpanan Diogo Luis Santo.
Diogo sekali lagi menjadi watak penting dalam penghasilan gol JDT apabila umpanannya disudahkan oleh rembatan Fernando Forestieri untuk jaringan ketiga pada minit ke 35.
SSI sekali lagi bergema dengan sorakan ribuan penyokong tuan rumah apabila JDT memperolehi gol keempat hasil daripada rembatan cantik pemain import Sepanyol, Juan Muniz dari luar kotak penalti.
Ketika JDT melakukan beberapa pertukaran pemain termasuk mengeluarkan penyerang utama, Diogo dan Forestieri, Kelantan akhirnya mendapat peluang untuk melakukan serangan balas.
Usaha mereka membuahkan hasil apabila memperolehi sepakan penalti selepas Ismaheel Akinade dijatuhkan oleh penjaga gol JDT, Syihan Hazmi. Pemain import baharu, Leonardo Rolon menyudahkan sepakan penalti untuk gol pertama Kelantan pada minit ke 67.
Namun begitu, pengadil turut menganugerahkan sepakan penalti kepada JDT selepas Akhyar Rashid dijatuhkan pada minit ke 81. Sepakan penalti Harimau Selatan kali ini disempurnakan oleh Arif Aiman. Keputusan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.