Pemilik TRW Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham memberikan pesanan terhadap penyokong menjelang perlawanan suku akhir saingan Piala Malaysia 2022 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Baca Juga:

Menerusi laman media sosial Facebook miliknya, Zamsaham berpesan sekiranya ada penyokong yang membuat provokasi terhadap penyokong JDT, beliau meminta peminat lain agar membuat teguran.

“Kalau ada kawan-kawan kita yang melakukan provokasi pada peminat JDT atau mana-mana peminat yang hadir ke Kota Bharu, tegurlah dia. Kita dah berada di zaman 2022. Lebih bertamadun dan beradab. Bola sepak ini tujuannya menghiburkan, bukan malapetaka,” kata Zamsaham.

Norizam memberi pesanan sedemikian dimana pernah berlaku kekecohan antara peminat Kelantan dan peminat Perak ketika dua pasukan ini bertemu dalam saingan Liga Premier.

Pihak keselamatan terpaksa mengiringi peminat Perak keluar dari stadium ekoran ada segelintir peminat Kelantan yang menunggu di luar stadium.

TRW Kelantan menempah tempat di suku akhir setelah menewaskan Sarawak United di peringkat 16 pasukan terakhir dengan keputusan 2-1 secara agregat.

Bagi JDT, mereka mara ke peringkat suku akhir setelah membelasah Petaling Jaya City dengan keputusan 6-0.

Perlawanan pertama akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV pada 5 November ini manakala aksi timbal balik akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 November.

Perlawanan suku akhir yang lain menyaksikan Selangor akan turun menentang Negeri Sembilan, juara bertahan iaitu Kuala Lumpur City akan bertemu Terengganu manakala Sabah akan turun menentang Kuching City.