Pemilik baharu kelab dari Indonesia, PSPS Riau iaitu Norizam Tukiman atau dikenali sebagai ZamSaham mendapat pujian daripada peminat bola sepak di daerah itu apabila membantu lunas tunggakan gaji pemain dari musim 2018.
Tidak seperti pemilik kelab-kelab lain dari Liga 2 Indonesia, ZamSaham memilih untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh PSPS Riau sambil menjaga kebajikan setiap pemain dan pegawai pasukan.
“Kami telah menyelesaikan hutang-hutang gaji para pemain PSPS Riau musim 2018 sebanyak 20 orang pemain. Hukuman yang dikenakan oleh NDRC Indonesia secara rasmi telah digugurkan kerana hak 20 orang pemain tersebut kini telah selesai,” kata ZamSaham dalam satu kenyataan rasmi di laman media sosial PSPS Riau.
ZamSaham yang juga merupakan pemilik TRW Kelantan sanggup mengambil risiko melabur dalam kelab Indonesia itu walaupun sedar bakal dibebani dengan masalah tunggakan gaji yang masih membelenggu pasukan tersebut.
“Ketika pertama kali saya mengumumkan mengambil alih PSPS Riau pada 3 Mei 2021, saya tegaskan bahawa hutang antara PSPS dengan pemain adalah salah satu janji saya dan akan selesai sebelum sepak mula Liga 2 pada 24 Julai 2021.
“Namun masih ada beberapa perkara yang diputuskan oleh NDRC Indonesia dan APPI kepada PSPS belum selesai dan salah satunya adalah laporan 4 pemain musim 2020 yang lalu (Liga dihentikan kerana force majeur).
“Kita janji akan selesaikan pula secepatnya. Ini sebahagian daripada komitmen kita untuk membuat perubahan dan kemajuan di PSPS Riau,” tambah ZamSaham.
Sebagai rekod, PSPS atau nama penuhnya Persatuan Sepak Bola Pekanbaru berpangkalan di Pekanbaru, Riau ditubuhkan pada tahun 1955.
Ketika ini pasukan berkenaan yang dikendalikan Raja Isa beraksi di Liga 2 Indonesia dengan kali terakhir bermain di divisyen utama pada 2014. PSPS juga kelab pertama yang disertai oleh pemain import Terengganu FC ketika ini iaitu Makan Konate ketika memulakan karier di Indonesia.
Baca artikel lain mengenai ZamSaham yang pernah dilaporkan sebelum ini.