Pemain Kuching City, Zahrul Nizwan memohon maaf kepada Syukri Baharun ekoran terjahan keras yang dilakukannya ke atas pemain itu dalam aksi Liga Super baru-baru ini.

Zahrul melakukan terjahan keras ke atas Syukri ketika Perak turun menentang Kuching City yang mana skuad kendalian Yusri Che Lah berjaya meraih tiga mata penuh hasil kemenangan 2-1.

Syukri yang dimasukkan pada hujung separuh masa kedua menerima terjahan yang amat kasar dari Zahrul sehingga menyebabkan pemain itu dibawa keluar.

Insiden tersebut nyata membuatkan Yusri berang, apatah lagi pengadil perlawanan yang bertugas ketika itu, Mohd Faisal Ridzuan tidak melayangkan sebarang kad kepada Zahrul Nizwan.

Menerusi laman media sosial Instagram miliknya, Zahrul mengeluarkan permohonan maaf kepada Syukri dan beliau menjadikan insiden yang berlaku sebagai pengajaran.

Zahrul Nizwan
Zahrul Nizwan

Zahrul kemudiannya memuat naik perbualan beliau bersama Syukri yang menunjukkan pemain Perak itu sudah memaafkan tindakan yang dilakukannya.

Susulan terjahan kasar itu, difahamkan Syukri berkemungkinan besar mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanannya.

Sekiranya kemungkinan itu menjadi kenyataan, ia nyata sesuatu yang cukup perit untuk dilalui oleh Syukri kerana beliau baharu sahaja pulih sepenuhnya daripada kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) pada lutut kiri.

Selain kehilangan khidmat Syukri, Perak juga berkemungkinan besar tidak dapat menurunkan pemain pertahanan import iaitu Jesper Nyholm turut mengalami kecederaan pada separuh masa pertama hingga memaksa beliau dikeluarkan pada minit ke-34.