Ketua jurulatih pasukan Perak, Yusri Che Lah mahu pemainnya untuk tidak terlalu menghormati pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam aksi separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia 2023 di Stadium Perak pada 19 Oktober ini.

Menurut Yusri, apa saja boleh berlaku dalam bola sepak dan tidak mustahil pasukannya boleh mencipta kejutan ke atas juara Piala FA dan juara bertahan Liga Super itu.

“Sepanjang 90 minit permainan apa sahaja boleh berlaku dan saya fikir para pemain juga jangan terlalu menghormati pasukan lawan. Peluang beraksi di gelanggang sendiri harus digunakan sebaiknya untuk mencipta kemenangan,” katanya.

Tambah Yusri, semua sudah tahu kekuatan yang dimiliki oleh JDT dan beliau mahu agar setiap pemain mempunyai semangat tinggi dan mempunyai keazaman untuk menang.

Perak melangkah ke peringkat separuh akhir setelah mengejutkan salah satu pasukan pilihan iaitu Sabah pada aksi suku akhir dimana mereka terikat ketika perlawanan pertama dengan keputusan 2-2 di Likas sebelum memenangi perlawanan kedua di tempat sendiri dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal Wan Zack Haikal.

Sebelum itu, anak-anak buah Yusri Che Lah mencipta kejutan dengan menewaskan Kedah Darul Aman pada aksi peringkat 16 pasukan terakhir dimana Perak menewaskan Kedah dengan keputusan 3-1 pada perlawanan pertama namun tewas dengan keputusan 2-1 pada perlawanan kedua. Juara edisi 2018 itu mara ke suku akhir dengan keputusan agregat 4-3.

Satu lagi perlawanan separuh akhir melibatkan pasukan Terengganu yang akan turun menentang juara edisi 2021 iaitu Kuala Lumpur City.