Kelmarin, ketua pasukan Melaka United, Shukor Adan telah memuat naik satu gambar di laman media sosial Instagram miliknya dan meluahkan kekecewaannya mengenai kegagalan pihak pengurusan menyelesaikan tunggakan gaji pemain.
Walaupun terbeban dengan masalah tersebut, Shukor berjaya membantu Melaka melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas terikat 2-2 dengan PDRM pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Stadium Hang Jebat.
Difahamkan, pasukan itu mempunyai tunggakan gaji selama dua bulan bermula bulan Julai dan tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak bulan Januari 2019.
Mengulas mengenai isu tunggakan gaji itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Yusof Mahadi, berharap pembayaran gaji dapat dipercepatkan untuk memberi semangat tambahan kepada pemain menghadapi saingan suku akhir Piala Malaysia menentang Pahang.
“Saya berharap dengan kelayakan Melaka ke suku akhir mempercepatkan usaha pihak penaja untuk menyalurkan dana bagi menyelesaikan gaji yang sudah tertunggak,” katanya dalam Stadium Astro.
Sebelum ini, MUSA menjelaskan persatuan itu menghadapi kesukaran untuk membayar gaji pemain kerana kecuaian pihak penaja dimana mereka lambat untuk menyalurkan wang penajaan kepada badan tersebut.
Presiden MUSA yang juga Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebelum ini juga sudah menyatakan kesediaan penaja untuk melunaskan janji mereka, justeru ia diharap bakal menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat.
“Apapun MUSA tetap berusaha agresif untuk melunaskan tunggakan gaji berkenaan yang dihadapi pemain skuad berkenaan kali ini.
“Justeru mara ke peringkat terbabit dan memenuhi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) ini diharapkan mempercepatkan proses penaja untuk menghulurkan komitmen mereka,” jelas Yusof Mahadi dalam Harian Metro.
Lagi artikel mengenai tunggakan gaji membabitkan pemain Melaka United.
Pemain Melaka United Pokai Tidak Menerima Gaji Selama 3 Bulan