Isu tunggakan gaji kembali menjadi sebutan apabila pemain Melaka United dikhabarkan sudah tiga bulan tidak menerima sebarang gaji.
Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, seorang sumber memberitahu kepada mereka dimana pemain Melaka tidak menerima bayaran gaji sejak Hari Raya Aidilfitri lalu.
“Situasi seperti ini memang membebankan kerana setiap bulan mereka memiliki komitmen dengan bank. Apabila bank menekan pemain, sudah pasti mereka juga mengharapkan pengurusan dapat selesaikan gaji mereka.
“Sebenarnya orang tidak tahu apa yang sedang dihadapi pemain. Malah mereka sebagai pemain profesional tidak mahu memanjangkan hal ini tetapi sampai bila mereka perlu tunggu?
“Kini tunggakan hampir memasuki tiga bulan dan kali terakhir pemain terima gaji adalah pada Ramadan lalu,” kata sumber tersebut menurut laporan Berita Harian.
Tambah sumber tersebut, pengurusan ketika ini sedang mencari jalan penyelesaian bagi memastikan pemain mendapatkan hak mereka dan beliau turut memuji semangat yang dimiliki oleh pemain Melaka meskipun tidak menerima sebarang gaji selama tiga bulan.
“Saya puji semangat pemain kerana walaupun tanpa gaji mereka beraksi baik. Sebelum ini pemain dimaklumkan pengurusan sedang mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Pemain faham apa yang sedang dihadapi pihak pengurusan. Tetapi tolonglah selesaikan gaji mereka dengan kadar segera memandangkan Piala Malaysia makin hampir,” tambahnya.
Sebelum ini, pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menjelaskan kini mereka sudah memulakan pembayaran hak penyiaran secara beransur-ansur dan diharapkan wang hak penyiaran itu dapat menyelesaikan tunggakan gaji pemain Melaka United.