Isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) ketika ini berpunca daripada kecuaian pihak penaja dimana mereka lambat untuk menyalurkan wang penajaan kepada badan tersebut.
Timbalan Presiden MUSA, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya tidak dapat membayar gaji pemain yang dikhabarkan tertunggak sejak tiga bulan lalu kerana wang tajaan yang dijanjikan pada Jun masih belum diterima.
“Melaka diterajui oleh kepimpinan baharu, masalahnya adalah apabila beberapa penaja kita yang lepas belum membuat bayaran dengan sepenuhnya. Kita jangka mereka bayar bulan Jun, tak bayar, jangka bulan Julai, tak bayar juga.
“Kita sebagai pengurusan, janji sebab jangkakan duit itu datang, tetapi penaja belum menunaikan janji tepat pada masa. Saya tak cakap mereka tak akan bayar, cuma tak tepat pada masa, itu yang menyukarkan sikit pengurusan sehingga berlaku sebegini,” katanya menurut laporan Utusan.
Pemain Melaka United Pokai Tidak Menerima Gaji Selama 3 Bulan https://t.co/ITkr58DJwG
— VOCKET FC (@vocketfc) July 21, 2019
Sebelum ini, pemain Melaka United dilaporkan tidak menerima sebarang bayaran gaji hampir tiga bulan dimana kali terakhir menerima gaji ialah pada Aidilfitri lalu. Tambah Yusoff, pengurusan pasukan sudah sedia maklum dengan masalah yang dihadapi dan langkah yang sewajarnya akan diambil bagi memastikan fokus pemain tidak terganggu.
“Saya rasa Presiden (Adly Zahari) sendiri akan mengambil tindakan yang perlu bagi menyelesaikan masalah ini supaya ia tidak memberikan kesan kepada semangat pemain menjelang saingan Piala Malaysia nanti. Saya harap kita akan ada satu penyelesaian yang baik kerana saya rasa pasukan ini berpotensi untuk memberi cabaran dalam Piala Malaysia,” katanya.
Melaka diundi dalam Kumpulan D bersama juara 33 kali, Selangor, Felda United dan pasukan dari saingan Liga Perdana, PDRM.