Pengendali baharu Kelab Bolasepak Perak (Perak FC), Chong Yee Fatt yakin dengan kemampuan pemain import dari Singapura, Muhammad Shakir Hamzah dalam memberikan sumbangan berkesan buat skuad bimbingannya pada musim ini.
Shakir yang sudah tidak asing lagi dalam kancah Liga Malaysia selepas beraksi bersama LionsXII dan Kedah dilihat bakal menjadi tunjang kekuatan buat pasukan Perak di jentera pertahanan.
Hal ini kerana beliau telah digandingkan dengan ketua pasukan, Shahrul Mohd Saad di posisi pertahanan tengah dan kedua-dua pemain tersebut menunjukkan persefahaman baik ketika aksi persahabatan bertemu Pulau Pinang, kelmarin.
Sehubungan dengan itu, Yee Fatt yang dilantik bagi menggantikan Mehmed Durakovic minggu lalu yakin bahawa Shakir Hamzah mampu untuk menjelmakan potensi besar bagi membantu Perak pada musim ini.
“Kita tahu bagaimana prestasi Shakir ketika bersama Kedah sebelum ini dan secara peribadi, saya memang merasakan dia adalah pemain yang berpotensi besar.
“Dia juga merupakan pemain yang boleh diharap di atas padang dan bijak untuk membaca perlawanan dengan baik di mana perkara seperti ini cukup membantu rakan sepasukan lain.”
“Apa yang pasti, saya akan cuba yang terbaik untuk membawa pasukan ini ke tahap yang optimum dan kami semua harap kami tidak akan kecewakan penyokong, pihak pengurusan termasuklah Mehmed [Durakovic] yang semestinya ingin lihat kami berjaya.
“Saya yakin walaupun saya baru sahaja membimbing skuad ini, pemain-pemain sudah tahu tugas masing-masing dan dapat bersedia sepenuhnya untuk memulakan aksi”, ujar Yee Fatt lagi.
Cabaran pertama yang bakal dihadapi skuad Perak dalam saingan Liga Super 2021 adalah menanti kunjungan PJ City FC di Stadium Perak, Ipoh Ahad nanti.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Ragini: Kelantan Mampu Lakar Kejutan Dalam Saingan Liga Premier