Bekas ketua pasukan Barcelona, Xavi Hernandez telah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan Al Sadd yang baharu dan akan memulakan tugas bermula saingan musim hadapan.
Perkara ini diumumkan oleh Al Sadd menerusi laman media sosial rasmi pasukan pada semalam. Xavi akan mengisi tempat yang ditinggalkan oleh jurulatih dari Portugal, Jesualdo Ferreira.
🚨 OFFICIAL: #Xavi Hernandez will take over as the head coach of #AlSadd from the beginning of the next season!#Qatar https://t.co/FvSOTLqyQp
— 🏆 #77 Al Sadd SC | نادي السد (@AlsaddSC) May 28, 2019
Xavi, yang berusia 39 tahun mengumumkan persaraan beliau daripada kancah bola sepak profesional selepas membantu Al Sadd SC menghadapi pasukan Persepolis dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada pertengahan bulan ini.
Setelah bersara, pemain yang mencipta rekod 767 penampilan bersama Barcelona dan 133 bersama pasukan kebangsaan Sepanyol menyatakan beliau akan memberi tumpuan terhadap karier dalam dunia kejurulatihan.
Al Sadd mengesahkan pemain yang telah memenangi pelbagai kejuaraan seperti Piala Dunia 2010 dan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada 2009 dan 2011 itu akan mengambil alih tugas dengan mengendalikan kem latihan pra-musim di Girona bermula 14 hingga 29 Julai.