Bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan England, Jonathan Woodgate beranggapan impak yang diberikan Cristiano Ronaldo bakal membantu Manchester United untuk menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini di atas Arsenal.
Manchester United bermula dengan baik pada lima perlawanan awal apabila berjaya mencatatkan empat kemenangan dan satu keputusan seri dengan menjaringkan 13 gol dan bolos empat jaringan.
Bagaimanapun, aksi goyah mula ditampilkan pada enam aksi berikutnya selepas skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu hanya mampu mencatatkan satu kemenangan, satu keputusan seri dan empat kekalahan.
Keadaan itu sekali gus membuatkan Arsenal yang bermula dengan tiga kekalahan berturut-turut sudah berjaya memintas United dan memiliki kelebihan tiga mata di hadapan untuk menduduki tangga kelima.
“Saya amat merasakan Chelsea akan memenangi Liga Perdana pada tahun [musim] ini, hanya kerana mereka begitu jarang dibolosi,” ujar Woodgate menurut laporan Metro UK.
“Liverpool dan Manchester City juga akan berada di sana [empat pasukan terbaik], tetapi agak sukar untuk memilih pasukan di tangga keempat. Saya merasakan saya akan memilih Manchester United.”
“Arsenal benar-benar mengagumkan saya. Mikel Arteta telah berada di bawah tekanan yang hebat tetapi saya suka melihat apa yang dia lakukan buat pasukan tersebut pada ketika ini. Dia akan menjadi pengurus yang hebat.
“Saya menggemari corak permainannya, saya juga suka melihat bagaimana dia mempercayai pemain muda dalam skuadnya.”
“Cuma saya merasakan terlalu berat untuk mereka berada di kedudukan keempat pada musim ini. Saya rasa impak daripada Cristiano Ronaldo akan membuatkan Manchester United berada di atas Arsenal,” tambah Woodgate lagi.
Selepas mengharungi 11 perlawanan EPL, Chelsea masih mengungguli tangga teratas dengan 26 mata, berkelebihan tiga mata di hadapan juara bertahan, Manchester City dan West Ham United.
Manchester City bagaimanapun berada di kedudukan kedua susulan kelebihan perbezaan jaringan yang dicatatkan berbanding skuad bimbingan David Moyes itu.
Sementara itu di kelompok bawahan pula, Burnley bersama-sama Newcastle United dan Norwich City bergelut untuk keluar daripada zon penyingkiran.
Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.
Fernando Santos: “Saya Berundur Jika Gagal Ke Piala Dunia, Namun Itu Tak Akan Berlaku”
Dion Cools, Shahrul Saad Kembali Perkuatkan Skuad Kebangsaan
Asnan Ahmad: Ancaman Leandro, Safiq Rahim Berbahaya Buat Kedah