Kecemerlangan yang ditampilkan Bukayo Saka dan Gabriel Martinelli tidak dinafikan menjadi antara punca kepada prestasi membanggakan Arsenal selepas mengharungi 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 setakat ini.
Baca Juga:
- David James: Bukayo Saka Seharusnya Berhijrah Ke Man City
- Bukayo Saka: Sekiranya Aksi Seperti Bertemu Spurs Diteruskan, Kami Mampu Julang Trofi
- Arsenal vs Liverpool: Bukayo Saka Kembalikan Arsenal Di Puncak Liga
Meraih sembilan kemenangan dan hanya mencatatkan satu kekalahan, Arsenal kini mengumpul 27 mata untuk menghuni tangga teratas, berkelebihan empat mata dihadapan pencabar terdekat, Manchester City.
Malah, The Gunners yang dibimbing Mikel Arteta turut berada di landasan terbaik dalam kancah Liga Europa apabila mencatatkan rekod kemenangan bersih pada tiga aksi awal.
Susulan dengan aksi bertenaga yang dijelmakan, Saka telah menjaringkan empat gol dan mencipta empat bantuan jaringan dalam kempen liga. Manakala, Martinelli pula turut dengan empat gol dan mencipta dua bantuan jaringan.
Satu statistik ringkas yang sudah cukup untuk membuktikan kemampuan dua pemain muda meningkat naik ini dalam menjadi nadi kepada kekuatan Arsenal.
Susulan dengan itu, mula terbit rasa risau dalam pemikiran legenda Arsenal, Nigel Winterburn sekiranya dua pemain tersebut menarik minat pasukan gergasi Eropah sekali gus meninggalkan pasukan.
“Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka, mereka merupakan pemain muda yang perlu diikat dengan kontrak jangka masa panjang oleh pasukan.”
“Saya tidak bermasalah dengan nilai gaji mereka meningkat daripada £30,000 hingga 50,000 seminggu. Bukan saya yang perlu membayar nilai sebegitu kepada seorang pemain buat mereka.”
“Saya gementar kerana mereka berdua adalah pemain muda yang sensasi dan saya benci sekiranya mereka meninggalkan pasukan khususnya untuk pergi ke pasukan lain dalam saingan Liga Perdana Inggeris,” ujar Winterburn menurut laporan Sport Bible.