Patrick Vieira hampir mencatat kejutan sensasi dalam kepulangannya ke halaman Arsenal. Di mana Crystal Palace hampir memalukan Arsenal di Emirates.
Lacazette berjaya menyelamatkan maruah Arsenal dengan gol pada saat akhir masa kecederaan.
VIEIRA, WOAH OH 🎶
👏 Patrick Vieira gets a huge reception from the Arsenal fans at the Emirates pic.twitter.com/8snAyBrYBB
— Football Daily (@footballdaily) October 18, 2021
Arsenal bermula dengan sangat baik sekali. Mendahului pada minit ke-8 menerusi Pierre-Emerick Aubameyang, selepas Vicente Guaita gagal mnenepis kemas hantaran Nicolas Pepe.
Selepas gol itu, Palace memperbaiki rentak permainan mereka. Dan menjadi pasukan yang lebih baik dari segenap aspek permainan.
Palace akhirnya menyamakan kedudukan pada awal separuh masa kedua, menerusi Christian Benteke selepas kesilapan Thomas Partey yang kehilangan bola kepada Jordan Ayew.
Sambi Lokonga kemudian mengulangi kesilapan yang sama dengan kehilangan bola kepada Conor Gallagher yang kemudian mencari Odsonne Edouard.
Edouard berjaya melakukan percubaan cantik menewaskan Aaron Ramsdale pada minit ke-73.
Kieran Tierney hampir menyamakan kedudukan untuk Arsenal sebelum perlawanan masuk ke masa kecederaan. Malangnya rembatan jarak dekatnya hanya mampu singgah di palang gol.
Ketika aksi seakan akan berakhir dengan kemenangan Sang Helang, Alexander Lacazette berjaya menghukum kealpaan pertahanan Palace pada masa kecederaan. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, bekas kapten legenda Arsenal, Patrick Vieira menganggap keputusan seri pada saat akhir itu sebagai pahit untuk ditelan.
“Itu sangat sukar untuk ditelan,” kata Vieira kepada BBC Sport.
“Saya benar-benar kecewa kerana bolos juga pada saat akhir kerana para pemain bekerja sangat keras dan mereka berhak mendapat tiga mata itu. Saya merasa kasihan pada mereka hari ini.”
A dramatic end in north London sees the points shared between Arsenal and Crystal Palace #ARSCRY pic.twitter.com/EBDrk1MW8c
— Premier League (@premierleague) October 18, 2021
“Saya menyukai karakter dan sikap yang kami tunjukkan. Pada babak kedua, kami mempunyai keinginan untuk bersaing dan memenangi bola dengan cukup tinggi.”
“Ini adalah sebahagian daripada permainan yang ingin kami perbaiki, menjadi agresif. Ini adalah sebahagian daripada DNA Crystal Palace yang kami mahukan.”
Bos Arsenal, Mikel Arteta pula berpendapat, Palace seharusnya bermain dengan 10 pemain selepas McArthur menyepak kaki Bukayo Saka pada separuh masa pertama, sehinggakan pemain itu cedera.
“Ini kad merah yang jelas,” kata Mikel Arteta.
“Dia tidak berniat bermain bola. Saya tidak tahu bagaimana dia tidak dilayangkan kad merah, dengan VAR, dia tidak dibuang padang.”
Arsenal melonjak ke tangga ke-12 dengan catatan aksi keenam tanpa kalah, sementara Palace kekal ke-14 setelah seri tiga kali berturut-turut.