Ketika sebahagian besar pasukan gigih memburu pemain berpengalaman atau nama yang besar di Liga Malaysia, PDRM FC memilih pendekatan berbeza dalam memperkuatkan cabaran Sang Saka Biru pada musim 2022 apabila mengambil majoriti pemain muda.
Ketua jurulatih PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail, menjelaskan beliau mengambil pendekatan sebegitu kerana lebih selesa bekerja dengan pemain-pemain muda.
Bukannya bermaksud tidak menyukai pemain-pemain senior, Wan Rohaimi menjelaskan sebahagian bakat-bakat muda ini masih ada ruang untuk dibentuk menjadi pemain yang lebih hebat pada masa depan.
“Seperti mana musim lalu, falsafah yang saya mahu terapkan akan terus kekal iaitu saya mahu melahirkan bintang dalam kalangan pemain muda.
“Hanya lima pemain sahaja pemain dalam pasukan ini yang boleh dikatakan berpengalaman dengan selebihnya saya ambil bakat-bakat muda yang ingin bermain bagi perkuatkan PDRM.
“Saya tidak mahu bersandarkan kepada pemain yang ada nama semata-mata tetapi pemain yang boleh bekerja untuk pasukan serta ada kemahuan tinggi dalam diri sendiri, aspek ini ada pada sebahagian besar pemain muda.
“Begitu juga dengan import, saya akan mendapatkan dua pemain dari Kyrgyzstan yang berusia 28 tahun ke bawah iaitu satu umur kemuncak dalam karier seseorang pemain selain seorang dari Slovakia.
“Hanya Alexander Amponsah, pemain tengah dari Ghana yang dikekalkan dan tiga lagi import baharu akan diperkenalkan tidak lama lagi,” katanya kepada MFL.
🔵FIRDAUS IRMAN #DarahBiru 🔵
Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, sah bersama skuad Sang Saka Biru untuk musim 2022! 📝
Posisi: Penjaga Gol
Umur: 20 Tahun
Kelab Terdahulu: Selangor FC#pdrmfc #sangsakabiru #darahbiru pic.twitter.com/eUl22EJVCS— PDRM Football Club 🇲🇾 (@officialpdrmfc) January 3, 2022
Antara pemain baharu PDRM FC ialah bekas penjaga gol Bawah 19 tahun negara, Mohd. Firdaus Irman Mohd. Fadhil (Selangor FC 2), Muhammad Mu’az Zainal Abidin (Penang FC), Muhammad Adib Hakimi Mohd Sabri (Selangor FC 2), Mohd Amier Mohd Ali (Perak FC) selain mengekalkan Nurfais Johari serta Azrie Reza Zamri yang hadir dari Penang FC, pertengahan musim lalu.
Pendekatan yang dipilih Wan Rohaimi sememangnya tidak mengejutkan kerana ada pengalaman bekerja 10 tahun lalu di Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) selain pernah bertindak selaku Ketua Jurulatih Piala Presiden Penang pada musim 2020.
Dalam masa sama, Wan Rohaimi berasakan PDRM mampu berikan cabaran kepada pasukan lain di Liga Premier dalam memburu dua slot ke Liga Super 2023.
“Musim lalu saya hadir di pertengahan musim dan terpaksa meneruskan cabaran pasukan dengan menggunakan pemain sedia ada.
“Kali ini sangat berbeza kerana saya sendiri boleh mencorakkan pasukan dengan pemain yang saya mahukan dan sememangnya kami sudah tidak sabar untuk harungi saingan Liga Premier musim ini.
“Saya optimis PDRM mampu berikan saingan walaupun kami tidak terdiri dari pemain bintang kerana saya percaya semangat luar biasa bakat-bakat muda akan membawa pasukan ini ke tahap lebih baik,” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Kedah Rancang Bina Pusat Latihan Sendiri Lengkap Dengan Hub Prestasi Sukan Dan Perubatan
Scott O’Donell Bakal Diumumkan Sebagai Pengarah Teknikal Baharu FAM?
FAM: Tan Cheng Hoe Sah Letak Jawatan Ketua Jurulatih Malaysia Dengan Persetujuan Bersama
Umbro Penaja Rasmi Jersi Terengganu Selama Dua Musim Dengan Nilai Tajaan RM1.8 Juta