Meskipun sedang berdepan dengan penularan wabak Coronavirus (Covid-19), namun Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) menegaskan saingan Thai League 1 tetap berjalan mengikut jadual yang telah ditetapkan.
FAT menerusi Pemangku Setiausaha Agungnya, Patit Supaphong berkata pihaknya sedia untuk mengawal keadaan serta mengambil keputusan untuk menunda perlawanan jika perlu.
“Kami sedia dengan sebarang kemungkinan. Kami tidak pasti apa yang akan berlaku pada masa akan datang namun kami terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan.
“Jika perkara ini boleh memudaratkan pemain serta penyokong, kami akan menunda perlawanan. Untuk saat ini, semua perlawanan liga akan berjalan seperti yang dijadualkan sebelumnya,” kata Patit.
Setakat ini, penularan wabak Covid-19 telah menjejaskan saingan liga di negara Asia lain seperti Jepun, China dan Korea Selatan. Malah, beberapa perlawanan saingan AFC Champions League (ACL) 2020 turut ditunda ke satu tarikh yang bakal diberitahu kelak.
Pihak J. League menunda semua perlawanan liga dan piala liga sehingga pertengahan Mac manakala K-League pula ditangguhkan sehingga maklumat lanjut diberitahu.
Baca artikel lain mengenai penularan wabak Covid-19 yang menjejaskan saingan liga bola sepak di Asia di sini:
Luqman Hakim Tunda Penerbangan Ke Eropah Ekoran Penularan Wabak Covid-19
J.League Umum Tunda 94 Perlawanan Liga Dan Piala Liga Sehingga Pertengahan Mac 2020 Akibat COVID-19
ACL 2020: Perlawanan Chiangrai United Menentang FC Seoul Diadakan Tertutup Kerana Covid-19