Ahli perniagaan kosmetik tersohor dan juga bekas penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr. Hasmiza atau lebih dikenali dengan Vida berpesan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan untuk berundur dari jawatan tersebut selepas gagal memimpin KAFA.
Beliau menyatakan kepada Utusan Malaysia, bahawa Bibi Ramjani sepatutnya berfikir panjang sebelum terhun dalam industri bola sepak yang memerlukan daya tahan mental ditahap tinggi.
“Menguruskan bola sepak bukan satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan komitmen dan ilmu berkaitan dengan sukan berkenaan.
“Saya sudah rasa kesannya ketika menjadi penaja utama Kelantan sebelum ini apabila prestasi The Red Warriors (TRW) merudum ketika itu sehingga memberikan kesan kepada jualan produk Vida Beauty,” katanya.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Vida selepas Bibi Ramjani cuba membangkitkan semula isu penajaan Vida Beauty kepada Kelantan yang masih berbaki RM8 juta bagi musim 2017.
KAFA yang kini berdepan dengan masalah kewangan yang cukup kritikal untuk menjelaskan tunggakan gaji serta belanja pengurusan operasi pasukan.
Menurut Vida, isu penajaan Vida Beauty untuk pasukan Kelantan dibuat menerusi perjanjian bersama syarikat TRW Sdn Bhd dan bukan melalui KAFA. Selain itu, beliau telah mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan perkara ini bersama Presiden KAFA sebelum ini Tan Sri Annuar Musa.
“Kafa dan TRW Sdn. Bhd adalah entiti yang berbeza. Sejujurnya saya hairan kenapa isu ini kembali dibangkitkan semula.
“Sedangkan semuanya telah dibuat secara jelas menerusi meja rundingan antara Vida Beauty dengan pimpinan Kafa terdahulu,” katanya.
Kelantan kini hampir pasti akan beraksi dalam saingan 100PLUS Liga Premier 2019 apabila gagal mengutip mata yang cukup untuk berjuang dalam zon penyingkiran.