Bakat cilik kelahiran Perlis, Uzzair Zayyan Naimulddin mendapat peluang keemasan bagi merealisasikan impiannya untuk bergelar pemain bola sepak profesional apabila mendapat tawaran biasiswa daripada Sekolah Antarabangsa British Phuket (BISP).
Berusia 12 tahun, Uzair akan diserap di bawah Program High Performance Team (HPT) dan mendapat biasiswa sukan (bola sepak) berjumlah RM120,000 setahun yang dikendalikan dibawah Akademi Bola Sepak Cruzeiro.
Akademi tersebut nyata bukan asing buat bakat muda bola sepak tanah air apabila sebelum ini turut menawarkan biasiswa kepada pemain pasukan Wanita Bayern Munich B-17, Celine Chuang dan penyerang Perak II, Muhammad Adam Nadzmi Zamri.
Pemilihan Uzzair untuk menerima tawaran tersebut dilihat sebagai satu keputusan tepat kelahiran pemain yang lahir di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar ini dilihat begitu cemerlang dalam bola sepak.
Beraksi dengan baik sebagai pemain tengah dan menjadikan legenda Barcelona, Xavi Hernandez sebagai idolanya, Uzzair merupakan pelatih Akademi Tunas Kangar di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) bermula tahun 2016 hingga 2021.
Uzzair sebelum ini turut pernah beraksi bersama Kelab Bola Sepak KSMR Kangar Junior bawah 9 tahun (B-9) dan Kelab Bola Sepak Kangar09 Dragons (B10-12) dimana banyak kejohanan bola sepak di seluruh negara dinikmatinya.
Pada tahun lalu, Uzzair dipilih untuk menyertai Kem Bola Sepak Peringkat Antarabangsa di Belanda bersama Kelab Eropah Ajax Amsterdam bawah program tajaan TH Global Football Camp. Namun program tersebut terpaksa dibatalkan disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.
Keputusan Uzzair Zayyan untuk menerima tawaran ini dilihat tepat kerana ia adalah satu platform terbaik bagi mengejar impiannya menjadi pemain bola sepak professional dunia serta menjadi pemain negara kelak. Selain itu, BISP juga dilihat amat memberi penekanan dari segi akademik selain fasiliti latihan bola sepak berkelas dunia.
Memetik sumber dari Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Uzzair Zayyan merupakan antara bakat dan aset terpenting pasukan negeri pada masa hadapan.
Mengulas mengenai kenyataan tersebut, Presiden PFA, Zamri Ibrahim menyatakan sokongan penuh dan merasa amat bangga dengan pencapaian remaja tersebut.