Ajax Amsterdam dilaporkan telah lama tahu tentang laporan polis ke atas Antony berkaitan kes keganasan domestik. Namun kelab itu hanya berdiam diri dan merahsiakannya.

Baca Juga:

Menurut laporan De Telegraaf dari Belanda, Man United pula langsung tidak tahu menahu tentang perkara itu ketika mereka cuba berunding mendapatkan pemain tersebut pada harga £86 juta.

Ajax sudah maklum tentang kes polis tersebut kira kira 3 bulan sebelum perpindahan Antony ke Man United.

Laporan polis itu dibuat lebih awal daripada yang dibuat oleh Cavallin.

Rayssa de Freitas merupakan salah seorang daripada wanita yang mendakwa menjadi mangsa keganasan Antony. Selain daripada Ingrid Lana dan teman wanita yang merupakan pasangan hidupnya iaitu Gabriela Cavallin.

Antony

Rayysa de Freitas membuat laporan polis di Sao Paulo pada Mei 2022. Mendakwa dia telah dipukul oleh Antony di dalam kereta kerana Antony bengang wanita itu pergi ke kelab malam tanpa ditemaninya.

De Freitas merupakan pelajar jurusan perundangan, mendakwa dia terpaksa dikejarkan ke hospital kerana insiden itu. Di mana Antony baru baru ini menafikan kesemua dakwaan tersebut.

Jika Man United mengetahui tentang kes itu, mereka mungkin akan mempertimbangkan semula usaha mendapatkan Antony pada masa itu.

Namun pengurus yang terlibat dalam rundingan Antony ialah Erik Ten Hag yang merupakan pengurus di Ajax pada musim sebelumnya.

Laporan yang sama menyebut bahawa, Man United mungkin tidak mendapat maklumat tentang perkara itu kerana kes itu hanya diketahui oleh sekumpulan kecil individu di Ajax sahaja.

Dan tidak mustahil Erik Ten Hag juga antara individu yang tidak diberitahu tentang kes itu.

Ketika Antony menyelesaikan proses perpindahan ke Man United, polis sedang menjalankan siasatan berdasarkan laporan daripada De Freitas.

Man United hanya mengetahui kes polis yang dibuat De Freitas ini pada bulan ini, selepas bercakap sendiri dengan ejen Antony.

Man United kemudian dimaklumkan bahawa De Freitas kemudian menggugurkan dakwaan ke atas Antony.

Antony kemudian berdepan 2 lagi siasatan polis selepas itu. Paling serius adalah melibatkan Gabriela Cavallin. Di mana bekas pasangan hidupnya itu mendakwa Antony memukulnya sehingga rosak payudara silikon yang dia pasang.

Kemudian Gabriela Cavallin berkongsi beberapa lagi kecederaan di kepalan dan jarinya akibat perbuatan Antony. Pemain itu konsisten menafikan tuduhan itu.

Ini bukan pertama kali pengurusan Man United terlepas pandang kes polis melibatkan pemain sasaran mereka. Pada 2014, Man United pernah mendapatkan Marcus Rojo dengan nilai £16 juta dari Sporting Lisbon.

Man United pada masa itu tidak tahu tentang pemain itu sedang disiasat polis atas pertuduhan serangan fizkal ke atas 2 lelaki di Argentina. Rojo telah menyerang mereka dengan botol kaca.

Ianya membuatkan United bergelut untuk mendapatkan permit kerja pemain itu.

https://twitter.com/102greatgoals/status/505722824368324610

Lebih memeranjatkan, pegawai Man United hanya mengetahui perkara itu menerusi seorang pegawai pentadbiran kelab itu yang mendapatkan informasi itu menerusi Google.

Mujur selepas itu mangsa serangan telah menarik semula tuduhan bahawa Rojo melakukan kesalahan jenayah keganasan, apabila mangsa dan Rojo bersetuju untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah.

Segalanya terus menjadi serba tak kena dengan Man United. Bulan ini mereka telah meletakkan nama Geoff Konopka sebagai tokoh di muzium kelab itu kerana sumbangannya bersama pasukan wanita.

Namun pengiktirafan itu ditarik balik oleh Man United, dan kesemua maklumat tentang Geoff Konopka dikeluarkan daripada muzium kelab. Kenapa? Kerana Konopka sebenarnya sedang digantung oleh FA England kerana terlibat kesalahan pedofil. Sekali lagi Man United terlepas pandang.