Pemain sayap skuad kebangsaan Brazil, Antony tanpa berselindung mendedahkan bahawa dirinya berada dalam kesukaran kerana masalah kesihatan yang dihadapi sejak berada di Qatar bagi menghadapi kempen Piala Dunia 2022.
Dimasukkan sebagai pemain gantian ketika bertemu Serbia dan Switzerland, Antony menyalahkan pendingin hawa di stadium yang menyebabkan kesihatannya terjejas.
Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa menyertai dua lagi rakan sepasukan yang mengalami kecederaan iaitu Neymar dan Danilo berlatih di tepi padang.
“Ia sedikit sukar buat saya. Akhirnya saya mengalami perasaan yang buruk buat beberapa hari dimana ia sedikit merumitkan hidup saya.”
“Saya semakin pulih dan menghampiri 100 peratus. Ia lebih kepada sakit tekak. Ia kerana pendingin hawa di stadium,” ujar Antony menurut laporan Sport Bible.
“Bukan saya sahaja yang mengalaminya tetapi pemain lain juga turut batuk dan sakit tekak yang amat teruk. Amat sukar buat saya kerana jatuh sakit.”
“Tetapi saya gembira untuk menjadi bahagian yang penting dalam pasukan. Setiap kali anda [Brazil] memerlukan Antony, saya bersedia,” tambah beliau lagi.
Brazil yang sudah mengesahkan tempat ke pusingan 16 selepas menewaskan Serbia dan Switzerland akan menghadapi cabaran Cameroon pada aksi terakhir kumpulan G.
Kemenangan akan meletakkan juara lima kali Piala Dunia itu selaku juara kumpulan untuk menghadapi pasukan tangga kedua kumpulan H yang terdiri daripada Portugal, Ghana, Korea Selatan dan Uruguay.