Manchester United telah memutuskan untuk mengambil tindakan gantung Antony daripada tugasa buat sementara waktu ini.

Dan pemain itu sendiri sudah mengesahkan bahawa dia sudah bercakap dengan kelab dan menerima langkah itu. Antony tidak perlu kembali ke kelab dengan segera.

Antony menyatakan bahawa dia setuju dengan penggantungan daripada kelab itu kerana mahu fokus kepada usaha mempertahankan diri daripada tuduhan ke atasnya.

Pemain antarabangsa Brazil itu terus berkeras menyatakan bahawa dia tak pernah melakukan kesalahan memukul bekas pasangannya iaitu Gabriel Cavallin.

Antony menyatakan: “Saya dan kelab telah mencapai persetujuan bersama tentang perkara ini [penggantungan sementara]. Saya mahu mempertahankan diri saya daripada tuduhan yang tidak berasas ke atas saya.”

“Saya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.”

Antony sebelum ini dituduh melakukan penderaan domestik ke atas Gabriela Cavallin. Dengan bekas teman wanitanya itu turut menuduh Man United berkomplot menutup kesalahan Antony.

Jurucakap kelab sudah menafikan perkara itu dan berkata mereka buat masa ini akan mengambil pendekatan berkecuali terlebih dahulu. Hal ini kerana Antony masih lagi dalam siasatan.

Berita ini pastinya tidak digemari peminat Man United. Di mana sebelum ini kelab juga pernah menggantung Mason Greenwood ketika pemain itu disiasat atas tuduhan keganasan domestik dan merogol.

Berbeza dengan Antony, kes Mason Greenwood ada bukti visual dan video yang dikongsikan di media sosial. Namun kes itu digugurkan selepas mangsa bersetuju untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

Bagi Antony, buat masa ini, bukti masih samar. Peguam Antony turut menuduh Gabriela Cavallin sudah beberapa kali mengemukakan kenyataan yang bercanggah.

Di atas padang, kesan ketiadaan Antony akibat kena gantung oleh United ini pastinya dirasai Ten Hag. Kerana pemain yang biasanya bermain di posisi Antony iaitu Jadon Sancho juga berdepan dengan kontroversi.

Dia juga berpotensi disisihkan oleh Ten Hag selepas menuduh pengurus itu berbohong dan menjadikannya kambing hitam.