Bekas pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini selepas diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.

Pemain tengah berusia 35 tahun itu meninggalkan peranannya sebagai Ketua Pasukan dan tidak lagi bersama Sabah FC sepanjang baki saingan Liga Malaysia musim ini.

Namun begitu, peminat bola sepak tempatan berpendapat bekas pemain Kedah itu seperti tiada hala tuju dalam kempen PRN kerana enggan mendedahkan manifesto untuk penduduk Gurun ketika ditanya oleh para wartawan.

Beliau meminta orang ramai untuk mengundinya terlebih dahulu sebelum boleh memaklumkan perancangan memajukan kawasan tersebut.

“Memang saya ada manifesto sendiri, tetapi manifesto itu akan terjadi bila kemenangan berpihak kepada saya.

“Kena undi dulu baru boleh bagi tahu. Dekat Kedah ni akan ada kejutan,” ujar Baddrol Bakhtiar. 

Kenyataan yang dibuat oleh Baddrol itu turut menarik perhatian bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan yang menganggap pemain bola sepak itu tiada visi dan misi yang jelas.

“Walaupun dia calon paling banyak turun padang. Tapi padang bolasepak dan padang politik tidak sama bro.

“Dari perhatian saya. Sebenarnya PN cuba pergunakan populariti Baddrol Bakhtiar disebabkan mereka ketandusan calon di DUN Gurun.

“PN sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa dan mereka tidak kisah imej Baddrol Bakhtiar akan rosak,” jelas Zahida menerusi hantaran di laman facebooknya.

Di Gurun, Baddrol bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH) yang merupakan Timbalan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah dan juga anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Mohammed Firdaus Johari.

PN yakin kehadiran Baddrol bakal menarik sokongan pengundi untuk mengukuhkan kedudukan gabungan itu di Kedah PRN, 12 Ogos nanti.