Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bersedia untuk melepaskan ‘ubi muda’ mereka ke pasukan lain musim hadapan sekiranya mereka menerima kontrak yang lebih baik.

Bibi Ramjani yang dihubungi oleh Sinar Harian memberitahu bahawa KAFA tidak mampu untuk membayar gaji tinggi kepada pemain-pemain yang sedia ada.

“Kita tidak mampu untuk membayar pemain yang melibatkan kos tinggi.

“Kafa akan membimbing pemain dengan kemampuan yang ada dan hanya pemain yang sanggup kekal bersama kami walaupun pasukan hanya beraksi pada saingan Liga Premier musim hadapan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau juga mengakui bahawa ada beberapa pemain dalam skuad Liga Super Kelantan musim ini sudah dirisik oleh beberapa kelab dan pasukan lain untuk aksi baru musim 2019.

“Ada pemain yang ditawarkan kontrak yang tinggi dari pasukan lain, jadi terpulang kepada pemain itu sendiri untuk kekal bersama Kelantan atau memilih haluan masing-masing.

“Untuk menawarkan kontrak kepada pemain kita perlu mengikut kemampuan kerana musim depan kita hanya akan bermain di Liga Premier,” katanya.

Ubi muda yang cukup ‘panas’ dalam skuad Kelantan musim ini sudah tentunya pemain tengah mereka Nik Akif Syahiran yang sudah beraksi dengan skuad senior kebangsaan, skuad U23 dibawah Datuk Ong Kim Swee dan skuad U19 bimbingan Bojan Hodak.

Sumber