Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel mengakui percaturan yang dilakukannya dengan membawa masuk Kepa Arrizabalaga dalam menggantikan Edouard Mendy bagi menghadapi penentuan sepakan penalti  pada perlawanan Piala Super Eropah bertemu Villarreal, awal pagi tadi bukanlah bersifat spontan.

Sebaliknya, Tuchel tanpa berselindung mengakui beliau dan dua penjaga gol tersebut nyata sudah bersedia untuk menghadapi situasi tersebut dan statistik juga menunjukkan kelebihan memihak Kepa dalam menggalas tugasan sepakan penalti.

Seperti diketahui, Tuchel mengambil keputusan dengan memasukkan penjaga gol kelahiran Sepanyol itu pada minit ke-119 ketika kedua-dua keputusan terikat 1-1.

Percaturan itu jelas membuahkan hasil selepas Kepa bertindak cemerlang dalam menafikan sepakan daripada Aissa Mandi dan Raul Albiol.

“Perkara ini tidak berlaku dengan spontan. Kami telah bercakap dengan penjaga gol [merujuk Kepa dan Mendy] mengenai perkara ini selepas perlawanan pertama saingan piala bertemu Barnsley [Piala FA musim lalu].”

“Kami juga mempunyai beberapa statistik. Kami sudah bersedia menghadapi keadaan ini,” ujar Tuchel menurut laporan yang dikeluarkan Goal.

“Kepa mempunyai peratusan yang baik dalam menyelamatkan sepakan penalti, bahagian analisis dan jurulatih penjaga gol menunjukkan kepada saya data tersebut.”

“Kami bercakap kepada pemain bahawa perkara ini akan terjadi sekiranya kami bermain dalam peringkat kalah mati. Sesuatu yang hebat bagaimana Edouard dapat menerima perkara ini.”

“Terdapat bukti yang menunjukkan Kepa Arrizabalaga lebih baik dalam disiplin ini [sepakan penalti]. Mereka menunjukkan semangat satu pasukan. Edouard tidak menunjukkan rasa marah dengan tidak melangkah keluar padang.”

“Dia gembira untuk melakukannya buat pasukan [digantikan dengan Kepa] dan menerima keputusan itu untuk kebaikan pasukan,” tambah Tuchel lagi.

Baca artikel lain dari kami mengenai Thomas Tuchel:

Previu Taktikal UCL: Pertarungan High Pressing Guardiola-Tuchel

Piala FA: Taktikal Tuchel Membuatkan City Hilang Kreativiti Di ‘Final Third’

Bagaimana Tuchel Boleh Mengendalikan Skuad Mahal Chelsea Dengan Baik