Chelsea menikmati prestasi yang hebat di bawah Thomas Tuchel. Jika sebelum ini kita mendengar Jose Mourinho menyebut bahawa, ‘pengurus yang sama, tetapi pemain yang berbeza’ ketika ditanya kenapa beliau bergelut untuk menang piala sekarang berbanding dahulu.

Di Chelsea mungkin ia sebaliknya, Frank Lampard menggunakan pemain yang sama tetapi gagal mendapatkan hasil yang lebih baik. Pemain yang sama pengurus yang berbeza, akan menjurus kepada hasil yang berbeza.

1. Fokus kepada sistem sokongan kepada serangan

Perkara paling utama ditekankan Tuchel ketika mula masuk ke Chelsea adalah serangan. Walaupun Chelsea menikmati prestasi yang baik secara defensif, namun Tuchel lebih fokus kepada pembentukan serangan yang tajam.

Beliau mulai membina sistem sokongan kepada serangan. Ataupun lapisan di belakang penyerang utama yang akan membekalkan servis kepada penyerang utama.

Pemain seperti Mason Mount diberikan peranan yang beliau lebih gemari. Beradaa di belakang penyerang utama. Dan hasilnya sangat baik. Jika sebelum ini, bersama Lampard, Mount tidak ada posisi yang signifikan.

Cubaan Lampard untuk membentuk Mount menjadi pemain versatile agak terlalu ekstrim sehinggakan pemain itu seperti ‘jack off all trades, master of none’.

Kemudian, pada awal kemasukan Tuchel beliau banyak menggunakan Marcos Alonso berbanding Ben Chilwell kerana pemain itu memiliki crossing yang lebih baik dan memiliki larian off ball ke dalam kotak penalti yang bagus.

Semua yang dilakukan Tuchel ini adalah untuk membina sistem dari belakang serangan.

2. Pertahanan

Chelsea berdepan dengan isu yang jelas dengan pertahanan mereka. Tetapi ketika bersama dengan Tuchel, pemain seperti Eduoard Mendy berjaya mencipta banyak clean sheet. Seterusnya, Tuchel memasukkan semula Antonio Rudiger ke dalam pasukan.

Kadangkala pemain yang tersisih seperti Rudiger ini memiliki semangat yang kuat untuk membuktikan kepada pengurus lama mereka, apa yang boleh mereka lakukan.

Jadi, ini adalah peluang untuk Rudiger membuktikannya. Ketiadaan Thiago Silva turut ditampung dengan sebaiknya oleh set pertahanan Chelsea yang ada, sama ada ketika mereka bermain bek bertiga ataupun bek berempat.

3. Penguasaan bola

Thomas Tuchel tidak seperti Frank Lampard. Beliau adalah possession hunger. Untuk membentuk pasukan yang mampu menguasai bola dengan baik, Chelsea kembali kepada asas mereka sebelum ini.

Maurizzio Sarri pernah membentuk pasukan Chelsea yang lebih berorientasikan penguasaan bola. Dan mereka bermain dengan baik ketika itu, cuma masalah mereka gagal mendapatkan hasil lebih baik dalam saingan liga.

Tuchel mahukan bola sepak Chelsea lebih banyak berlegar di kawasan lawan berbanding dengan kawasan sendiri.

Mereka memperbaiki aspek permainan berasaskan binaan dari bawah. Di mana pemain lebih baik dalam mengendalikan bola.

Harus diingat, pada sesi latihan pertama Chelsea di bawah Tuchel, mereka berlatih dengan bola saiz 1 yang kecil. Kerana Tuchel mendapati pemain pemain Chelsea seringkali cuai dalam mengendalikan bola.

Chelsea berjaya membentuk pasukan yang lebih stabil di tengah dalam usaha mereka mahu bermain dengan cara mereka.

Para pemain faham apa yang pengurus mahukan dan melaksanakan tugasan mereka atas padang.

4. Mentaliti

Paling penting adalah pembentukan mentaliti dalam diri pemain. Chelsea memiliki lambakan pemain berbakat selepas mereka mendapatkan ramai bintang.

Tanpa mentaliti yang betul, para pemain ini akan gagal untuk membentuk pasukan yang lebih baik.

Tuchel sebelum ini menyatakan: “Saya ingin membentuk Chelsea yang semua pasukan lain tak mahu bertemu dengan kami.”

Dan beberapa minggu lalu, Tuchel menegaskan mereka kini sudah mencapai tahap di mana semua pasukan lawan mereka gerun untuk bertemu dengan mereka.

Daripada mentaliti ini, akan mewujudkan keyakinan diri yang lebih baik.

Mungkin sekarang Tuchel masih menunggu hasil yang lebih baik daripada Havertz dan Werner. Tuchel masih yakin dengan kedua dua pemain itu. Malah melarang Werner daripada melakukan latihan tambahan untuk memperbaiki penyudah, kerana menurut Tuchel, Werner memang tahu cara menjaringkan gol, cuma gol itu tak kunjung tiba lagi.

5. Squad depth

Chelsea memiliki skuad yang besar. Dari segi kualiti individu kita akan berkata mereka cukup bagus. Namun bola sepak sentiasa berkaitan dengan permainan berpasukan.

Tuchel mahu memastikan beliau ada set pemain simpanan ataupun pemain pilihan ketiga yang mampu menggalas tugasan mereka apabila diberikan peluang pada bila bila masa.

Selain daripada Marcos Alonso yang kembali mendapat minit, Tuchel malah pernah dikhuatiri mahu menjadikan Kepa sebagai pemain no.1 sekali lagi berbanding Mendy.

Pulisic yang pada satu ketika dianggap mungkin tidak akan mendapat peluang lebih banyak, kini sudah mulai memainkan peranan beliau dalam pasukan.

Semua yang dilakukan itu adalah untuk memastikan setiap pemain harus sedia. Chelsea juga memiliki kualiti di serangan dengan adanya Giroud, Tammy Abraham, untuk posisi nombor sembilan.

Sangat penting untuk menjaga squad depth yang bagus.

Rumusan

Daripada 5 perkara yang kami senaraikan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa, Tuchel lebih menekankan kestabilan secara berpasukan berbanding dengan fokus kepada individu.

Seterusnya, beliau berjaya meyakinkan para pemain Chelsea untuk kembali kepada mentaliti lebih besar di atas padang berbanding sebelum ini. Di mana pemain kerap tertekan kerana tag harga di bahu mereka.

Selain itu, pendekatan taktikal yang lebih berani adalah lebih sesuai dengan set pemain yang ada dalam pasukan Chelsea sekarang ini berbanding dengan pendekatan Lampard yang lebih pragmatik.

Tuchel nampak lebih bagus mengendalikan skuad mahal Chelsea ini berbanding Lampard. Kerana beliau ada pengalaman mengendalikan kelab kelab seperti Borussia Dortmund dan PSG.