Tragedi di Stadium Kanjuruhan ketika perlawanan antara Arema menentang Persebaya mendapat perhatian dunia dam salah seorang pemain yang beraksi dalam perlawanan tersebut, Abel Camara berkongsi pengalaman menyayat hati ketika berada dalam bilik permainan setelah perlawanan selesai.

Baca Juga:

Menurut Abel, ada beberapa penyokong yang terkena tembakan gas pemedih mata dibawa ke dalam bilik persalinan bagi mendapatkan rawatan dan beliau menyaksikan dengam mata sendiri ada sekitar tujuh atau lapan penyokong yang meninggal dunia.

“Ini adalah derby yang sudah lama, dan dalam seminggu di seluruh kota sudah merasakan bahawa ini adalah perlawanan yang lebih dari sekadar tiga mata. Menurut mereka, ini adalah perlawanan antara hidup dan mati, bahawa kami boleh kalah perlawanan lain tetapi bukan yang ini.

“Ada situasi tegang dimana selepas perlawanan, kami meminta maaf kepada penyokong kerana tewas. Mereka mula memanjat pagar dan kami segera masuk ke dalam bilik persalinan.

“Setelah itu, kami mula mendengar tembakan, orang menjerit dan ada yang mula tolak-menolak satu sama lain. Kami menampung beberapa orang yang terkena gas pemedih mata di dalam bilik persalinan. Kami menyaksikan sendiri ada penyokong yang meninggal dunia. Ada sekitar tujuh atau lapan orang yang meninggal di dalam bilik persalinan,” katanya.

Tambah Abel Camara, beliau nyata terkejut dengan kejadian yang terjadi dan beliau bersama rakan sepasukan yang lain tidak boleh meninggalkan Stadium Kanjuruhan selepas perlawanan kerana situasi di luar seperti medan perang.

“Kami berjaya keluar dari stadium setelah empat jam menunggu selepas penyokong sudah meninggalkan kawasan stadium. Ketika kami pergi, situasi lebih tenang. Namun ada darah, kasut dan pakaian di perkarangan stadium. Kami melihat ada kereta polis dan orang awan yang terbakar,” tambahnya.

Sehingga artikel ini ditulis, seramai 180 orang meninggal dunia dan lebih dari 320 mangsa sedang menjalani rawatan di hospital ekoran terkena gas pemedih mata yang ditembak oleh pihak polis yang mahu meleraikan kerusuhan penyokong yang memasuki padang setelah pasukan mereka tewas kepada musuh tradisi.