Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei jelas enggan dibuai dengan kejayaan manis yang dinikmati selepas muncul juara kejohanan Terbuka Taipei 2023, semalam.

Baca Juga:

Beliau yang berpasangan dengan Chen Tang Jie dilihat tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan wakil tuan rumah, Chiu Hsiang Chieh-Lin Xiao Min dengan kemenangan 21-12, 21-8.

Kejayaan itu sekali gus turut menghadiahkan kejuaraan kedua buat mereka dalam saingan Super 300 yang menyaksikan Tang Jie-Ee Wei muncul juara Orleans Masters pada April lalu.

Sehubungan dengan itu, Ee Wei yang merupakan anak kelahiran Melaka mahu terus merendah diri dalam usaha meningkatkan lagi prestasi ketika beraksi.

“Kami gembira dengan kemenangan ini. Sejak kami tidak melakukan dengan baik ketika Terbuka Indonesia, kami memberikan fokus untuk beraksi dengan lebih baik di Taipei.”

“Kami mesti mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Norza Zakaria (Presiden Persatuan Badminton Malaysia) dan BAM kerana mendorong untuk memasukkan kami ke program RTG (Road To Gold). Ia sememangnya menjadi motivasi terbesar buat kami.”

“Terima kasih kepada ‘coach’ Nova (Widianto) dan Rexy (Mainaky) yang mana sentiasa memberikan sokongan kepada kami.”

“Kami akan terus merendah diri dan berlatih dengan lebih keras untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik,” ujar Toh Ee Wei menurut kenyataan dikeluarkan di Facebook rasmi BAM.

Semakin menunjukkan keserasian bersama Tang Jie, gandingan tersebut pada ketika ini berada di kedudukan ke-19 dalam ranking dunia dan di landasan terbaik dalam senarai kelayakan ke Sukan Olimpik 2023.