Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT FC), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) menafikan khabar angin bahawa ada pemain kelab tersebut mendapat tawaran pasukan luar negara.

Sebelum ini kedengaran spekulasi mengenai minat kelab Jepun dan Korea Selatan untuk mendapatkan pemain sayap lincah, Arif Aiman Mohd Hanapi.

Persoalan tersebut akhirnya terjawab dalam satu video temu bual eksklusif  bersama TMJ yang dimuatnaik oleh JOHOR Southern Tigers malam tadi.

“Buat masa ini kami masih belum terima apa-apa tawaran lagi tetapi tanggungjawab saya sebagai pemilik pasukan adalah jelas dan mudah.”

“Iaitu saya bertanggungjawab di atas nilai komersial kelab dan kejayaan kelab di dalam padang. Kalau sesiapa nak [pemain JDT], buat tawaran, berikan duit dimana kami boleh mendapat manfaat daripada pendapatan tersebut.”

“Kelab bola sepak kami bukan penjara. Sesiapa yang nak keluar negara boleh sahaja keluar negara.”

“Tetapi ada juga saya ingin kongsikan, tak semuanya bermain di luar negara, bergantung kepada kategori liga tersebut yang mereka boleh menjamin tempat di kesebelasan utama atau mereka boleh memperbaiki diri.”

Selain daripada penafian tersebut sambil menantikan tawaran sekiranya ada pasukan berminat, TMJ turut memberikan pendapat peribadi tentang pemain yang berkelana ke luar negara.

“Saya bagi contoh Titus James dulu, bermain di Perancis begitu lama tetapi apa sumbangannya kepada pasukan kebangsaan?”

“Sama juga macam kita tengok kepada Luqman [Hakim] sekarang, kasihan juga saya tengok kerana dia adalah pemain yang baik, mempunyai sikap yang baik.”

“Tetapi kualiti perlawanan atau minit permainan. Di Eropah, Korea dan Jepun bukan senang. Kalau kita tengok Hadi Fayyadh mula-mula pergi dibawa oleh Yakult, mana Hadi Fayyadh hari ini? Main Perak.”

“Sama juga dengan Wan Zack Haikal dan pertahanan kiri, Nazirul Naim. Jadi, tak semestinya semua yang bermain di luar negara itu awak semua harus sanjung.”

“Kualiti perlawanan dan juga pertandingan-pertandingan hebat sebagai contoh kami bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL). Lawan dengan pasukan yang 10 kali ganda lebih baik dari kami.”

“Ia merupakan pengalaman yang sangat bagus untuk mana-mana pemain yang berada dalam pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim.”

“Tak semestinya bermain di luar sahaja, ‘Oh bagus’. Pandangan saya, saya tidak bersetuju dengan pendapat itu. Bukan sahaja saya, anda boleh tanya kepada jurulatih dalam negara, anda boleh tanya mana-mana orang yang berada dalam industri bola sepak negara,” tambah TMJ lagi.

Selain itu, TMJ turut menyentuh tentang aksi Nooa Hamzah Laine yang bermain di Finland tetapi mendapat kritikan hebat para penyokong ketika beraksi bersama skuad kebangsaan pada aksi persahabatan tempoh hari.

Pada ketika ini terdapat beberapa pemain negara yang berkelana di luar negara antaranya Luqman Hakim Shamsudin (NjardvĂ­k), Dion Cools (Buriram United), R. Kogileswaran (Chungbuk Cheongju) dan Safawi Rasid (Ratchaburi).