Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) nyata kecewa dengan prestasi pengadil ketika perlawanan antara pasukannya menentang Kawasaki Frontale dalam saingan AFC Champions League (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Baca Juga:

Dalam perlawanan tersebut, terdapat beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil dari Qatar, Abdulrahman Al-Jassim yang dianggap merugikan khususnya pasukan tuan rumah.

Pada separuh masa pertama, Arif Aiman Hanapi dikasari oleh pertahanan Kawasaki dalam kawasan penalti namun dinafikan oleh Abdulrahman. Arif sekali lagi dikasari dalam kawasan penalti namun pengadil enggan memberi sepakan penalti walaupun beliau mendapatkan bantuan khidmat Video Assistance Referee (VAR).

TMJ
Komen TMJ di laman media sosial Instagram

Perkara ini nyata mendapat perhatian TMJ dimana beliau terus mengeluarkan komen mengenai prestasi yang ditampilkan oleh pengadil pada perlawanan semalam.

“VAR hanya bagus untuk orang yang bijak menggunakan VAR, tak guna bagi VAR kepada orang tak tahu pakai VAR. Ibarat beri kereta kepada monyet,” katanya.

Kawasaki mencatat kemenangan tipis ke atas JDT dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan tunggal Marcinho pada lewat separuh masa pertama sekaligus memberikan tiga mata penuh untuk kelab Jepun itu.

Perlawanan seterusnya akan menyaksikan JDT bakal terbang ke Thailand untuk bertemu BG Pathum United pada 3 Oktober ini yang mana mereka tewas kepada Ulsan Hyundai pada aksi pembukaan dengan keputusan 3-1.

Penyerang Ulsan, Martin Adam menjadi wira apabila menjaringkan hatrik manakala BG Pathum turun tanpa pemain bintang mereka iaitu Chanathip Songkrasin.