Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, (TMJ) menjelaskan bahawa bekas pemain Arsenal, Mesut Ozil tidak pernah ada dalam perancangannya.

Baca Juga:

Sebelum ini, terdapat khabar angin mengatakan Ozil bakal menyertai JDT bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Bagaimanapun, TMJ menjelaskan beliau hanya mahukan pemain yang benar-benar berbaloi dan mampu memberi sumbangan yang besar kepada pasukannya.

“Saya tidak tahu dari mana cerita Mesut Ozil ini datang, tetapi dia tidak pernah ada dalam perancangan saya. Kami tak nak berhabis duit kelab membayar gaji yang mahal untuk pemain yang tak membantu ketika bertahan.

“Tidak ada istilah superstar di JDT, semua pemain perlu komited dan memberikan komitmen untuk menyerang dan bertahan sebagai satu unit di atas padang.

“Kalau dia bagus, kenapa tidak ada kelab nak ambil dia? Mungkin ada masalah peribadi, attitude, kita tidak tahu, saya tidak mahu memburukkannya kerana saya tidak kenal dia. Itu faktor yang harus dibuat penilaian,” katanya dalam Sesi Soal Jawab Bersama Penyokong di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Sumber Gambar: JST

JDT sebelum ini pernah mengambil pemain bintang dunia seperti Pablo Aimar, Daniel Guiza dan Luciano Figueroa. TMJ turut menegaskan tidak mahu skuad Harimau Selatan dijadikan destinasi persaraan oleh mana-mana pemain dunia.

“Setakat dapat gaji besar dan lepas itu pencen daripada arena bola sepak. Siapa-siapa yang datang ke mari mesti komitmen sepenuhnya. Sanggup berlari beberapa meter untuk membantu pertahanan.

“Saya tak nak habiskan duit bayar gaji begitu mahal untuk pemain tak nak lari bertahan tiga meter. Di Johor tiada siapa bintang.

“Di Johor adalah pemain yang bagi komitmen sanggup mati antara satu sama lain. Komited bertahan, menyerang sebagai satu unit.

“Saya takkan boleh cari lagi satu Luciano Figueroa, saya gerenti kerana Malaysia bukan satu destinasi nama besar datang. Kalau mereka nak gaji besar, lebih hebat mereka pergi Jepun, China, Arab Saudi, UAE,” tegas TMJ.

Pada masa yang sama, TMJ sedia menimbangkan untuk mendapatkan khidmat bintang bola sepak Argentina, Papu Gomez pada musim hadapan jika harga yang ditawarkan munasabah.

“Kalau beri komitmen, harga munasabah, Insya-Allah,” katanya.