Masalah di luar padang terus membelenggu karier Mesut Ozil apabila beliau telah diketepikan daripada skuad Fenerbahce, satu keadaan yang turut pernah dialaminya ketika bersama Arsenal.
Menyertai Fenerbahce pada Januari 2021 sebaik sahaja dilepaskan oleh Arsenal, kehadiran Ozil disambut dengan baik para penyokong kelab yang berada di kejiranan Kadikoy, Turki itu.
Namun, kini semuanya tampak kembali seperti kebiasaan setelah pemain tengah berusia 33 tahun itu berselisih faham dengan pengurus pasukan, Ismail Kartal sehingga menyebabkannya diketepikan daripada pasukan.
Seperti yang diketahui selain daripada Arteta, Ozil turut ‘bermasalah’ dengan mantan pengurus Arsenal seperti Arsene Wenger dan Unai Emery.
Keadaan tersebut membuatkan bekas rakan sepasukannya sewaktu menyarung jersi Arsenal, Nacho Monreal tampil untuk menjelaskan sesuatu tentang Ozil.
“Masalah Mesut Ozil ialah dia mempunyai masalah dengan semua orang,” ujar Monreal menurut laporan yang dikeluarkan Sport Bible.
“Dia berakhir dengan teruk bersama Wenger, dia tidak bermain pada beberapa perlawanan terakhir bersama Wenger, kemudiannya Emery cuba untuk membawanya kembali dan menjadikan Ozil sebagai ketua kami.”
“Pada permulaannya, dia telah memberikan banyak keyakinan dan Mesut banyak beraksi tetapi jurulatih memahami bahawa terdapat rakan sepasukan lain yang berada dalam keadaan lebih baik [berbanding Ozil].”
“Ozil merupakan salah seorang pemain terbaik dalam pasukan, antara yang menerima gaji tertinggi tetapi mereka melihat dia tidak berada di tahap yang diperlukan.”
“Sebagai seorang menusia, dia sangat baik dengan semua orang, tetapi dia juga terlepas banyak perlawanan kerana kecederaan,” tambah Monreal lagi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Gagal Ke Piala Dunia 2022, Mohamed Salah Beri Bayangan Persaraan
Abang Pogba Kritik Manchester United Suka Tabur Janji Palsu Punca Paul Pogba Angkat Kaki