Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) memberi perkembangan baharu mengenai pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Dion Cools.
Baca Juga:
- Dion Cools Sertai Kelab Republik Czech?
- TMJ Dan RMS Berkongsi Idea Tingkatkan Kualiti Liga Malaysia
- Ditegur TMJ Agar Selesaikan Tunggakan Gaji, Ini Jawapan Sarawak United
Menerusi laman Instagram Story miliknya, Tunku Ismail memberikan bayangan Dion bakal menyertai pasukannya pada bulan Januari tahun hadapan dan pada masa yang sama beraksi terlebih dahulu bersama kelab Republik Czech, FK Jablonec sebelum jendela perpindahan musim sejuk dibuka.
Jablonec mengumumkan ketibaan Dion di laman media sosial rasmi pasukan dimana pemain berusia 26 tahun itu menyertai kelab tersebut sebagai ejen bebas setelah meninggalkan kelab Denmark, FC Midtjylland minggu lalu.
Dion Cools telah mencapai kata sepakat dengan FC Midtjylland untuk menamatkan kontrak sekaligus beliau dibenarkan untuk mencari pasukan baharu bagi menghadapi saingan musim 2022/2023.
“FC Midtjylland dan Dion telah mencapai kata sepakat untuk menamatkan kontrak sedia ada, jadi pemain berusia 26 tahun itu bebas mencari kelab baharu. Pemain pertahanan Malaysia itu menyertai Midtjylland pada Januari 2020 dari Club Brugge dan telah membuat 53 penampilan. Kami ucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” dipetik dari laman web rasmi kelab.
Pada bulan Jun lalu, TMJ memberi bayangan Dion bakal menyertai JDT namun beliau tidak dapat membawa masuk pemain itu dalam masa terdekat atas beberapa faktor.
“Saya dan Dion Cools mempunyai hubungan baik yang begitu lama dan beliau memang mahu bermain di sini. Akan tetapi, situasi sekarang adalah sedikit susah untuk pihak kami kerana perlu membayar pampasan untuk tebus kontrak beliau. Saya akan menandatangani Dion Cools kemungkinan pada hujung tahun ini atau tahun hadapan,” kata TMJ.
Dion tersenarai dalam skuad yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa pada kejohanan jemputan 48th King’s Cup 2022 di Chiang Mai, Thailand pada 22 dan 25 September 2022.
Skuad kebangsaan akan turun menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya dari 16 hingga 19 September 2022, sebelum berlepas ke Chiang Mai untuk berdepan tuan rumah, Thailand bagi hari perlawanan pertama pada Khamis, 22 September 2022, jam 8.30 malam (9.30 malam waktu Malaysia) di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.
Satu lagi perlawanan menemukan Trinidad & Tobago dan Tajikistan akan berlangsung di stadium sama, jam 5.30 petang (6.30 petang waktu Malaysia).