Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berkongsi luahannya mengenai sebab beliau bersungguh membangunkan bola sepak Johor sehingga mencapai pelbagai kejayaan luar biasa.
Baca Juga:
- TMJ Alami Detik Cemas Insiden Tembakan Sebelum Aksi JDT-BG Pathum United
- TMJ Kongsi Keadaan Terkini Padang SNBJ
- TMJ: Tahun Depan JDT Akan Lebih Kuat
- TMJ Dedah Punca Kegagalan Selangor Selama 8 Tahun
Menurut TMJ, bola sepak ialah sukan yang mampu menyatupadukan rakyat di negeri itu dan ia dimainkan oleh seluruh lapisan masyarakat.
“JDT adalah saya, dan saya adalah JDT dan kedua-duanya adalah milik rakyat Johor dan keluarga JDT dari seluruh dunia.
“Mengapa bola sepak? Bola sepak adalah milik orang ramai. Ia boleh dimainkan oleh semua lapisan masyarakat di mana sahaja anda pergi tanpa mengira bangsa, agama, etnik atau kedudukan sosial. Ia membawa mereka banyak keseronokan,” kata TMJ menerusi laman instagram story.
TMJ juga menjelaskan bola sepak bukan tempat untuk membazirkan duit kerana sukan tersebut tidak sesuai dijadikan hobi peribadi.
Duit yang dilaburkan untuk bola sepak adalah demi kebanggaan negeri Johor dan kegembiraan untuk semua penyokong JDT.
“Terdapat rasa kekitaan dalam sukan bola sepak untuk semua, dan itu adalah ideologi keluarga JDT. Inilah sebabnya adalah tidak masuk akal untuk membandingkan bola sepak dengan sukan lain terutamanya sukan individu yang dimainkan oleh golongan elit.
“Polo adalah contoh di mana ia adalah hobi peribadi saya, tetapi ia bukan sesuatu yang boleh saya kongsikan kegembiraan bersama rakyat Johor,” jelas TMJ.
“Ini adalah sebab JDT mengadakan sambutan besar-besaran apabila kami menjuarai Liga kerana ia adalah untuk diraikan oleh seluruh rakyat Johor dan keluarga JDT,” tambah TMJ.
Malah, baginda juga tidak berharap kepada mana-mana jenama kerana TMJ sendiri adalah sebuah jenama. Berkat idea TMJ, jenama JDT juga kini semakin dikenali di seluruh dunia.
Jenama JDT telah pun menceburi bidang pemotoran, futsal, polo, tinju dan hoki ais, dan usaha ini akan mengembangkan lagi jenama JDT kepada khalayak global dan membuka pintu kepada lebih banyak kerjasama dengan syarikat-syarikat antarabangsa.