Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) berkongsi keadaan semasa pemain sayap negara, Safawi Rasid yang ketika ini beraksi bersama Ratchaburi dalam saingan Thai League 1.

Baca Juga:

Dalam satu wawancara bersama Utusan Malaysia, TMJ menegaskan beliau masih berhubung dengan Safawi dan merasakan pemain itu tidak begitu selesa di Thailand.

“Safawi ada berhubung dengan saya. Saya rasa dia tak begitu selesa di sana. Kita tengok macam mana kerana yang nak pergi loan bukan saya yang hantar dia. Dia yang nak pergi sendiri.

“Kami hanya memberi kerjasama kepada beliau dimana dia nak dapat lebih banyak permainan dan kami beri itu semua. Buat masa ini masih belum ada kata putus sama ada dia nak balik ataupun tidak.

“Saya tahu dia kurang selesa di sana. Ada ura-ura yang mengatakan Safawi Rasid nak balik sini (JDT). Tetapi tengok dulu. Saya pun belum membuat keputusan,” kata TMJ.

Sebelum ini, menerusi tinjauan di laman media sosial Twitter, rata-rata penyokong JDT merasakan Safawi tidak diperlukan kelab juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu.

Ada yang melihat penurunan prestasi Safawi menjadi sebab mereka tidak mahu melihat pemain tersebut kembali menyarung jersi skuad Harimau Selatan.

Safawi Rasid berjaya menjaringkan gol pertama beliau bersama Ratchaburi ketika turun menentang Chonburi bulan lalu dalam saingan Thai League 1.

Selepas perlawanan, pengelola liga mengeluarkan senarai pemain terbaik mingguan dan Safawi berada dalam senarai tersebut setelah tampil cemerlang bersama Ratchaburi. Pemain berusia 24 tahun itu juga menjadi satu-satunya pemain dari Ratchaburi berada dalam senarai itu.

Safawi menyertai beberapa pemain lain seperti Lonsana Doumbouya (Buriram United), Tyronne del Pino (Nakhon Ratchasima) Jorge Fellipe (Lampang) dan Airton Tirrabasi (Port).

Safawi mengikut jejak langkah seorang lagi pemain negara iaitu Dion Cools yang sebelum ini pernah berada dalam kesebelasan terbaik mingguan.