Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) menegaskan Harimau Selatan tidak sama seperti pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia.
Baca Juga:
- TMJ: Nak ‘Maintain’ Padang Pun Tak Mampu, Macam Mana Nak Ada Stadium Sendiri?
- TMJ Tidak Puas Hati Dengan Kualiti Padang Di JDT
- TMJ: Kontraktor Bayar Gaji Pemain? Sila Audit Dan Periksa Kewangan JDT
Menerusi satu komen di laman instagram rasmi JDT, officialjohor, TMJ berkata perbezaan yang dimiliki kelab itu termasuk dari segi rumput, infrastruktur dan hingga ke tempat simpan baja.
Ia adalah falsafah yang diterapkan oleh TMJ dalam kelab itu.
“Kami sangat berbeza. Berlainan dalam setiap aspek. Rumput, infra, pengangkutan, pakaian, falsafah bolasepak, celebration, hinggalah ke tempat simpan baja.
“Kawalan kualiti dalam setiap aspek dan fokus kepada segala perincian membuatkan kami lain daripada yang lain. Itulah falsafah yang saya terapkan dalam kelab kami saudara saudari sekalian,” tulis TMJ.
Falsafah yang diterapkan oleh TMJ itu menjadikan JDT memegang status sebagai kelab terbaik negara ketika ini dengan rekod kejuaraan Liga Super sebanyak 9 kali berturut-turut.
Memang tidak dinafikan bahawa apa yang disediakan dan dimiliki kelab itu dari segi fasiliti jauh berbeza dengan pasukan lain sekaligus memastikan pemain berada di tahap terbaik untuk bertanding di peringkat asia.
JDT bergelar juara Liga Super sejak tahun 2014 dan masih belum ada mana-mana pasukan yang berjaya memecahkan dominasi mereka sehingga sekarang.
Malah, ketika ini, skuad Harimau Selatan itu masih kekal di tangga teratas Liga Super dengan 36 mata maksimum tanpa kalah selepas mengharungi 12 perlawanan dan hanya bolos 1 gol sahaja.
Berdasarkan persembahan musim ini, JDT tampak sukar digugat dan tidak mustahil trofi Liga Super akan terus berada dalam tangan Harimau Selatan untuk tempoh sedekad lagi.