Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mendedahkan pemain dari Argentina, Jalil Elias bakal menyertai pasukan itu pada Januari ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu wawancara bersama Astro Arena baru-baru ini, TMJ menyatakan Jalil akan mula beraksi di Liga Malaysia pada musim hadapan.

“Jalil Elias akan menjadi pemain JDT selepas dia selesai beraksi di sana (Argentina). Dia berusia 27 tahun dan merupakan pemain yang cukup baik di bahagian tengah, boleh bermain box to box dan defensive midfielder. Saya rasa dia akan beraksi dengan baik bersama JDT.

“Dia akan memberi lebih banyak keseimbangan di bahagian tengah pasukan,” kata TMJ.

Karier Jalil bermula dengan Newell’s Old Boy yang merupakan akademi melahirkan Lionel Messi. Dia diserap masuk ke pasukan utama beberapa tahun kemudian dan dipinjamkan ke Godoy Cruz dan menyertai kelab itu secara tetap.

Namun pada akhir musim 2018 dia kembali ke Newell’s sebelum kembali semula ke Godoy musim berikutnya. Selepas beberapa siri perpindahan antara beberapa kelab terutama sekali Godoy, dia kemudian menyertai San Lorenzo pada 2021.

Pada musim lalu dia bermain sebanyak 43 kali untuk San Lornezo dan menjaringkan 2 gol serta 3 assist. Dia turut menjadi kapten San Lorenzo dalamm beberapa perlawanan pada musim lalu.