Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mempunyai sasaran tersendiri yang beliau tetapkan untuk pasukannya dalam saingan AFC Champions League (ACL) musim ini.

Dalam satu wawancara bersama Astro Aren baru-baru ini, TMJ berkongsi beberapa perkara mengenai pasukannya dan tidak ketinggalan mengenai sasaran yang diletakkan untuk kelabnya yang beraksi dalam saingan liga domestik dan peringkat Asia setiap tahun.

Menurut beliau, sasaran untuk saingan Liga Malaysia setiap musim masih sama iaitu beliau mahu JDT menduduki Top 4 dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Namun untuk ACL, saya sasarkan untuk pasukan dapat mara ke pusingan 16 terbaik,” katanya.

Pada masa yang sama, TMJ turut memberi bayangan ketua pasukan skuad kebangsaan, Dion Cools bakal menyertai JDT satu hari nanti.

TMJ menjelaskan ketika ini gaji Dion terlalu tinggi dan ia adalah sebab kenapa pemain kacukan Belgium itu menyertai kelab Thailand, Buriram United.

“Gaji Dion terlampau mahal bagi kami. Buriram United bayar gaji yang terlalu mahal tetapi saya tahu dia ingin bermain di Malaysia dan saya tak rasa pemain itu akan main dengan pasukan lain.

“Kami ada hubungan baik. Dia tahu berkenan projek, infrastruktur dan agenda di JDT dengan jelas. Satu hari nanti Dion Cools akan jadi pemain JDT,” katanya.