Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berkongsi detik cemas insiden tembakan yang berlaku di pusat beli-belah Siam Paragon Mall di Bangkok, Thailand ketika bersama keluarga.
Baca Juga:
- TMJ Dedah Punca Kegagalan Selangor Selama 8 Tahun
- TMJ: Tahun Depan JDT Akan Lebih Kuat
- TMJ: Tak Guna Beri VAR Kepada Orang Yang Tak Tahu Pakai
Menurut kenyataan rasmi, TMJ memaklumkan beliau serta keluarga dan pasukan JDT berada dalam keadaan selamat.
Kejadian itu berlaku pada sebelah petang sebelum perlawanan AFC Champions League (ACL) antara BG Pathum United menentang JDT semalam.
“Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.
“Kami membawa kanak-kanak dan keluarga ke tempat yang selamat, berlari ke ruang bawah tanah bersama pasukan saya dan fikiran saya tertumpu kepada berapa ramai penembak di luar sana, apa senjata yang mereka gunakan dan apa situasinya.
“Kami perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana yang kami tahu ketika itu hanyalah bunyi tembakan yang kedengaran… kami tidak mempunyai maklumat lain,” katanya dalam perkongsian di laman sosial rasmi.
Orang ramai menjerit dan berlari masuk ke dalam hotel dari pusat membeli-belah apabila penembak mula melepaskan tembakan. Ia sangat bising dan terdapat begitu banyak jeritan. Kami semua sedang duduk di lobi hotel ketika itu.
Kami membawa kanak-kanak/keluarga ke tempat yang… pic.twitter.com/SG4G558Tvi
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) October 3, 2023
Menurutnya, beliau juga terbayang saat menenangkan anak-anaknya yang ketakutan dan menangis.
“Saya memberitahu anak-anak saya, ‘semuanya akan kembali okay. Babah dan Mama ada di sini’ dan menyuruh mereka tunduk sementara menunggu kenderaan tiba.
“Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku.
“Apa yang difikirkan adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka,” katanya.
TMJ juga berkata, beliau sempat menghubungi Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta Menteri Pertahanan kita (Datuk Seri Mohamad Hasan) untuk memaklumkan apa yang berlaku dan Duta Besar Malaysia turut ada bersama mereka.
JDT membawa pulang 3 mata penuh selepas mencatat kemenangan ke atas BG Pathum United 4-2 hasil jaringan Arif Aiman Hanapi, Bergson Da Silva dan Juan Muniz.