Persatuan Bola Sepak Kedah Darul Aman (KFA) hari ini mengumumkan jualan tiket dalam talian untuk perlawanan kelayakan AFC Champions League 2020 pusingan kedua menentang kelab dari Hong Kong iaitu Wofoo Tai Po FC akan bermula pada pukul 12.00 tengah hari esok (16 Januari 2020).
Menurut kenyataan di laman facebook FA Kedah, 3 jenis tiket telah ditawarkan iaitu Astaka Utama yang berharga RM50.00 sekeping, Astaka Lama (RM30.00) dan jenis Terbuka (RM20.00).
Semua tiket adalah bernombor mengikut zon kawasan tempat duduk yang dibeli. Jadi, setiap belian tiket oleh para penyokong dijamin tempat duduk masing-masing mengikut nombor yang tertera pada tiket tersebut.
Para penyokong Kedah boleh membeli melalui laman web www.tickethotline.com.my. Perlu diingatkan harga jualan tiket yang dipaparkan dalam laman web tersebut adalah termasuk caj perkhidmatan dan servis dari vendor yang akan dikenakan untuk setiap pembelian tiket.
Bagaimanapun, jualan di kaunter-kaunter Stadium Darul Aman akan dimaklumkan oleh KFA dalam masa terdekat.
Jika pasukan Kedah FA mampu menundukkan Wofoo Tai Po pada 21 Januari 2020 nanti, pasukan tempat ke-3 saingan K.League 1 iaitu FC Seoul akan menanti di pusingan play-off yang dijadualkan pada 28 Januari 2020 di Korea Selatan.
Kemenangan keatas FC Seoul juga bakal membolehkan Kedah FA mengiringi juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) menghadapi saingan peringkat kumpulan AFC Champions League 2020, sekaligus memberi pulangan mata AFC MA Ranking Malaysia.
Baca artikel lain berkaitan perkembangan AFC Champions League melalui pautan dibawah.
Malaysia Bakal Terima 1 Slot Automatik Peringkat Kumpulan AFC Champions League Mulai Musim 2021