Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini mengumumkan senarai 74 pengadil dipilih bertugas di Piala Asia 2023 tahun depan yang berlangsung di Qatar pada 12 Januari hingga 10 Februari 2024.

Ia terdiri daripada 35 orang pengadil dan 39 pembantu pengadil yang terbaik dalam setiap negara di benua Asia. Mereka dipilih berdasarkan kemampuan mengawal perlawanan, pengetahuan teknikal, tahap fizikal dan kecergasan yang baik serta prestasi dalam perlawanan di peringkat tertinggi.

Tiga pengadil dari Malaysia turut dipilih bertugas di Piala Asia 2023 iaitu Muhammad Nazmi Bin Nasaruddin (pengadil utama) serta dua pembantu pengadil, Mohamad Zairul Bin Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Bin Abd Rasid.

Nazmi mempunyai pengalaman luas mengadili beberapa perlawanan berprofil tinggi dan kini dalam proses untuk mendapatkan lesen Video Assistance Referee (VAR) supaya boleh terlibat dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia.

Malah, AFC turut mengumumkan pengadil wanita akan bertugas buat kali pertama dalam sejarah Piala Asia yang melibatkan perlawanan pasukan lelaki. Beliau ialah Yoshimi Yamashita dari Jepun dan turut bertugas ketika saingan Piala Dunia 2022 di Qatar.

FOTO: J. League

Pengadil terkemuka dan berpengalaman, Alireza Faghani turut akan mengadili beberapa perlawanan Piala Asia 2023 bersama Abdulrahman Al Jassim dari Qatar yang merupakan pengadil utama ketika perlawanan penentuan tempat ketiga Piala Dunia 2022.

Bagi menjaga prestij kejohanan dan meningkat mutu pengadilan, sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) akan dilaksanakan sepenuhnya dalam semua perlawanan bermula daripada peringkat kumpulan hingga perlawanan akhir.

“Untuk memastikan Konfederasi mengekalkan piawaian pengadil tertinggi, pelantikan terbesar dalam sejarah bola sepak Asia juga mengambil kira perluasan peranan sedia ada dengan pengenalan jawatan baharu, termasuk Pegawai Perlawanan Video,” tulis kenyataan rasmi AFC.