Mungkin tidak ramai dari peminat bola sepak di Malaysia yang tahu mengenai satu program atau inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) bagi menggalakan pemain-pemain tempatan mereka untuk menjaringkan gol dalam saingan liga – ‘Thais Strike Back’.
Thais Strike Back merupakan satu strategi yang diperkenalkan untuk memberikan motivasi dan juga dorongan untuk kelab dan juga pemain tempatan Thailand turun beraksi dan menjaringkan gol dalam perlawanan liga.
Fokus utama kepada program ini adalah bagi mencungkil pemain-pemain dibahagian posisi serangan supaya berusaha untuk menjaringkan gol seterusnya mengurangkan masalah ketumpulan serangan bagi skuad kebangsaan Thailand.
Bagaimana ‘Thais Strike Back’ Dikira?
Menurut laman web rasmi FAT, program Thais Strike Back ini akan dipecahkan kepada beberapa pusingan mengikut jumlah perlawanan yang ditetapkan.
Setiap pusingan akan mempunyai 5 perlawanan dan akan berterusan sehingga tamat musim. Pasukan yang menjaringkan paling banyak gol akan dikira sebagai pemenang, dengan syarat minimum 8 gol bagi melayakkan mereka merebut bonus THB500,000 (RM69,216).
Jika tiada pemenang untuk pusingan, hadiah wang tunai itu akan dibawa ke pusingan seterusnya. Selain itu, jika ada lebih dari 1 pasukan yang mempunyai pemain tempatan menjaringkan lebih dari 8 gol, hadiah wang tunai itu akan dibahagikan secara sama rata.
Bagi Thais Strike Back pusingan pertama (perlawanan 1 hingga 5), tiada pasukan dalam saingan Thai League 1 yang mempunyai pemain tempatan menjaringkan sekurang-kuranya 8 gol dalam 5 perlawanan dan hadiah THB500,000 telah dibawa ke pusingan ke 2 (perlawanan ke 6 hingga 10).
Port FC muncul sebagai pasukan pertama yang berjaya membawa pulang hadiah sebanyak THB1,000,000 (RM138,366), selepas pemain tempatan mereka berjaya menjaringkan 11 gol.
Oleh kerana tiada pemenang dalam pusingan 3,4 & 5, hadiah terkumpul pada pusingan ke 6 yang juga terakhir dalam musim 2019 adalah sebanyak THB2,000,000 (RM276,875).
Selepas perlawanan terakhir saingan Thai League 1 beberapa hari yang lalu, pasukan Chiangrai United membawa pulang hadiah wang tunai THB2,000,000 (RM276,875) selepas berjaya menjaringkan 9 gol dalam perlawanan ke 26 hingga ke 30, mengetapikan Bangkok United yang hanya mampu menjaringkan 8 gol sahaja.
Pihak FAT juga turut bermurah hati untuk menyumbangkan bonus sebanyak THB300,000 (RM41,526) kepada pemain tempatan Thailand yang muncul sebagai penjaring terbanyak liga.
Ekanit Panya yang berusia 20 tahun berjaya merangkul anugerah itu dengan jumlah 10 gol dijaringkan serta membawa pulang bonus yang dijanjikan oleh FAT.
Mungkin ini adalah cara mereka untuk cuba membantu kelab dan pemain berusaha dengan lebih baik mempertajamkan kemahiran menjaringkan gol dalam kejohanan liga domestik untuk kebaikan pasukan kebangsaan dimasa hadapan.
Baca juga artikel padu lain yang telah kami sediakan untuk tatapan anda semua.
Police Tero FC Berjaya Layak Ke Saingan Thai League 1, Peluang Baik Dominic Tan Jika Kekal
Chanathip Songkrasin: 98.5% Diturunkan Dalam Kesebelasan Utama Hokkaido Consadole Sapporo