Lebih 40,000 penyokong dijangka akan membanjiri Stadium Sultan Mizan malam esok sempena perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 antara Terengganu menentang KL City.

Baca Juga:

Malah, pihak Terengganu FC (TFC) turut mengajak para penyokong bersatu hati mempamerkan bendera Palestin dari kawasan tempat duduk masing-masing sebagai tanda solidariti sebelum perlawanan bermula.

Rakyat Palestin ketika ini berdepan krisis ‘pembunuhan beramai-ramai’ selepas serangan berterusan tentera rejim zionis Israel.

“Terengganu FC ingin membuat seruan untuk seluruh penyokong yang hadir untuk kita sama-sama pamerkan aura yang berbeza. Kita pastikan aura dan lontaran suara kita dapat didengari dari Besut hingga ke Kemaman! 90 minit gema sorakan tanpa henti.

“Seluruh Penyokong di stadium mencipta sejarah untuk sama-sama mengangkat bendera Palestin sebagai simbolik solidariti terhadap apa yang berlaku atas dasar keamanan dan kemanusiaan semasa lagu Negaraku dinyanyikan,” tulis kenyataan TFC.

Selain itu, terdapat juga tifo gergasi akan dipamerkan daripada kumpulan Ultras dan kelab penyokong sekaligus bakal mencetus atmosfera luar biasa ketika perlawanan berlangsung.

Malah, para penyokong juga berpeluang menyumbang kepada Tabung Derma Palestin yangΒ akan ditempatkan di setiap pintu masuk stadium. Kutipan dilakukan oleh Jabatan Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera.

Pada aksi separuh akhir pertama bulan lalu, skuad Penyu membawa pulang bekalan tipis selepas melakar kemenangan 2-1 hasil jaringan Ivan Mamut dan pemain sayap, Nik Muhamad Sharif Haseefy Mohd Lazim manakala gol lawan menerusi sepakan penalti bekas pemain TFC, Kipre Tchetche.

Tonggak pertahanan TFC, Ubaidullah Shamsul menjangkakan perlawanan pada malam esok bakal berlangsung sengit dan beliau tekad memastikan gawang tidak bolos dengan mudah,

“Perlawanan esok akan jadi sebuah perlawanan yang berintensiti tinggi. Ini kerana kita tidak ingin dibolosi dan pasukan lawan ingin mendapatkan jaringan. Apa yang pasti setiap pemain perlu kekal fokus sehingga tamat perlawanan.

Saya ingin menyeru buat seluruh penyokong yang akan hadir, berikanlah sokongan yang tidak berbelah bagi untuk setiap pemain kerana kami amat memerlukannya,” katanya.