Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui kecewa apabila permintaannya untuk menunda aksi Liga Super 2023 menentang Sri Pahang tidak dapat ditunaikan.

Baca Juga:

TFC bakal menghadapi perlawanan Piala AFC menentang kelab Filipina, Stallion Laguna pada hari Khamis ini, 26 Oktober sebelum dijadualkan menentang Sri Pahang pada hari Ahad, 29 Oktober.

Namun, Steinbruckner tidak begitu gembira dengan jadual perlawanan yang cukup padat kerana beberapa pemain utama berisiko mendapat kecederaan serta tidak mempunyai rehat yang cukup.

“Kami akan bertemu Stallion Laguna FC dan Sri Pahang FC selepas itu. Kami ada meminta Sri Pahang untuk menangguhkan perlawanan itu tetapi mereka tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.

“Saya tidak gembira dengan perkara itu tetapi saya akan meletakkan lebih banyak pemain dari bangku simpanan dalam perlawanan tersebut kerana fokus kami adalah Piala Malaysia dan selepas itu Piala AFC,” katanya.

Sabtu lepas, skuad Penyu meraih bekalan tipis selepas menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 2-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Mereka akan menghadapi KL City sekali lagi untuk separuh akhir kedua pada 3 November nanti.

Bagaimanapun, Steinbruckner bimbang tidak dapat menurunkan barisan terbaik disebabkan oleh jurang kualiti yang berbeza dengan pemain simpanan.

Beliau terpaksa melakukan penggiliran pemain berada di tahap terbaik bagi menghadapi separuh akhir kedua nanti.

“Saya tahu 11 pemain terbaik dan dua tiga pemain yang boleh dimasukkan. Kami ada banyak pemain tetapi bila bercakap mengenai kualiti, ramai di antara pemain yang bagus tetapi kebanyakannya masih kurang minit permainan untuk diturunkan,” jelasnya.