Pasangan beregu campuran sedang meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar kejutan pada pusingan pertama Kejohanan Terbuka Thailand 2023 apabila menewaskan gandingan ranking kelima dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, pagi tadi.
Baca Juga:
- Badminton Asia 2023: Tang Jie-Ee Wei Singkirkan Pilihan Ketujuh
- Rexy Mainaky, Nasihat Mendiang Bapa Dorong Karier Hebat Takluk Dunia Badminton
- Kenali 10 Jurulatih Badminton Dari Malaysia Yang Sedang Berkhidmat Di Luar Negara
Kemenangan pada pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan itu membawa Tang Jie-Ee Wei ke pusingan kedua esok bagi menanti Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.
Berada di ranking ke-20 dunia pada ketika ini, pasangan negara tampil dengan penuh keyakinan untuk memastikan set pertama menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-15.
Aksi menarik turut dipamerkan pada set kedua dengan aksi kejar-mengejar mata hingga menyaksikan kedudukan terikat 19-19 tetapi pasangan China itu lebih tenang untuk menang 21-19 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Skrip sama berulang pada ‘rubber set’ dengan corak permainan bertenaga yang akhirnya tuah menjadi milik Tang Jie-Ee Wei untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 (kedua) dengan 21-19.
Sehingga berita ini ditulis, Ng Tze Yong turut berjaya mengiringi pasangan tersebut ke pusingan seterusnya selepas menundukkan P. Rajawat dari India dengan ‘straight set’ 21-19, 21-10.
Manakala satu lagi pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Cheah Yee See pula menewaskan pasangan suami isteri dari Singapura, Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan 15-21, 21-11, 22-20.
Sementara itu perseorangan wanita pertama negara, Goh Jin Wei tewas kepada pemain Chinese Taipei, Wen Chi Hsu 11-21, 19-21.
Lima lagi wakil negara akan beraksi pada hari ini menerusi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Leong Jun Hao, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Cheam June Wei dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.