Pemain perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong mempamerkan aksi bertenaga untuk menunjukkan jalan keluar buat pilihan pertama Kejohanan Terbuka Thailand 2023, Chou Tien Chen pada aksi pusingan 16 yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok sebentar tadi.

Baca Juga:

Kejutan dilakarkan Tze Yong itu menyaksikan beliau akan berdepan dengan pemenang antara aksi Lee Cheuk Yiu dan Magnus Johannesen di suku akhir, esok.

Lebih manis, ia merupakan kemenangan sulung buat pemain berusia 23 tahun itu selepas beliau tunduk pada dua kejohanan (Terbuka Switzerland 2023 dan Malaysia Masters 2022) sebelum ini ke atas lawan yang merupakan pemain ranking ketujuh dunia.

Aksi yang cukup sengit dan sangat mendebarkan dapat disaksikan pada set pertama apabila Tze Yong bangkit daripada ketinggalan jauh 7-16 dan kemudiannya mencatatkan kemenangan 23-21.

Ketahanan mental di tahap tertinggi turut dipamerkan oleh pemain kelahiran Johor Bahru itu yang menyaksikan kebangkitannya ketika ketinggalan 10-15 sekali lagi memerangkap Tien Chen untuk memastikan kemenangan menjadi milik Ng Tze Yong juga dengan 23-21.

Kejutan turut dilakarkan oleh seorang lagi wakil perseorangan negara, Leong Jun Hao yang menundukkan pemain ranking ke-36 dunia, Christo Popov dari Perancis.

Tewas set pertama 20-22, Jun Hao kemudiannya mempamerkan kebangkitan untuk meraih kemenangan dengan mata 21-13, 21-19 bagi menanti pemenang antara pertemuan Lakhsya Sen dan Li Shi Feng.

Kejohanan Terbuka Thailand merupakan saingan yang bertaraf Super 500 bagi kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF).