Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mempamerkan kebangkitan hebat untuk bangkit daripada ambang kekalahan bagi meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir Kejohanan Terbuka Taipei 2023 yang berlangsung di Arena Tian-mu, University of Taipei sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan penting itu hadir ketika mereka bertemu wakil tuan rumah, Fang Chih-Lee-Fang Jen-Lee dengan keputusan ‘rubber set’ 15-21, 21-19, 21-17.

Meskipun berdepan dengan lawan yang berada di ranking ke-33 dunia, Yew Sin dan Ee Yi nyata berdepan masalah untuk menyaingi lawan tersebut hingga menyaksikan mereka tewas 15-21.

Set kedua juga turut memperlihatkan penguasaan ditampilkan oleh Chih-Lee dan Jen-Lee apabila mereka mendahului mata sejak dari awal.

Namun, pasangan beregu kedua negara yang kini melonjak ke tangga keenam ranking dunia itu mempamerkan semangat juang kental untuk memadamkan kelebihan dimiliki lawan sekali gus memenangi set tersebut dengan 21-19.

Ia nyata meningkatkan lagi moral Yew Sin dan Ee Yi untuk tampil dengan lebih baik pada set penentuan dan kesempatan itu diambil sepenuhnya dengan kemenangan 21-17.

Menanti mereka di separuh akhir yang bakal berlangsung petang esok ialah rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang akan beraksi menentang pilihan keempat dari Chinese Taipei, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan.

Sementara itu, dua lagi wakil negara iaitu Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing (beregu campuran) dan Yeoh Seng Zoe (perseorangan lelaki) tewas kepada lawan masing-masing sebentar tadi.