Pasangan beregu lelaki, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menambah ceria kem negara apabila muncul juara Terbuka Taipei 2023 hasil kemenangan ke atas wakil tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han, sebentar tadi.
Kejayaan manis dilakarkan dalam tempoh masa satu jam 11 minit itu telah mengikuti jejak langkah pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang terlebih dahulu menaiki podium selaku juara.
Malah lebih manis untuk diperkatakan, ia merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat Wei Chong-Kai dalam saingan Terbuka Taipei dimana mereka turut bergelar juara pada edisi tahun lalu dengan menewaskan Lee Yang-Wang Chi-Lin.
Kemenangan berharga tersebut bagaimanapun tidak hadir dengan mudah setelah gandingan ranking ke-15 dunia itu berjaya mencuri set pertama dengan keputusan 22-20 walaupun Wei Chong-Kai Wun sudah berada di ambang kemenangan.
Bagaikan mendapat tonik berguna dari Nova Widianto ketika waktu rehat, pasangan negara itu tampil lebih meyakinkan walaupun lawan juga tidak mudah untuk menyerah kalah.
Keadaan itu menyaksikan Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjaya merakamkan kemenangan 21-17 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Selepas mendahului 14-12, gandingan negara itu tampak lebih yakin di gelanggang dan memastikan kejuaraan sekali lagi menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-14.
Sama seperti yang diraih Tang Jie-Ee Wei, mereka turut menerima hadiah wang tunai bernilai dunia itu membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $16,590.