Pasangan muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tidak ketinggalan untuk menempah tempat ke separuh akhir Terbuka Taipei 2023 selepas menundukkan pemain pilihan keempat, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan.

Baca Juga:

Kemenangan yang dilakarkan di Arena Tian-mu, University of Taipei itu menyaksikan mereka akan berhadapan dengan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, petang esok.

Ia juga bermakna satu slot di perlawanan akhir kejohanan bertaraf Super 300 sudah pasti menjadi milik wakil Malaysia.

Kejayaan manis itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila jurang mata pada kedua-dua set cukup rapat sebelum Wei Chong-Kai Wun dapat mengesahkan kemenangan tersebut.

Pasangan negara yang kini menghuni ranking ke-23 dunia itu memimpin aksi set pertama sejak dari awal permainan dan kemudiannya menang dengan keputusan 21-19.

Skrip sedikit berbeza pada set kedua dimana Jhe-Heui dan Po-Hsuan mendahului 6-3 pada awal permainan tetapi Wei Chong-Kai Wun tampil dengan cemerlang selepas itu untuk bangkit dengan kelebihan 9-7.

Namun, gandingan Chinese Taipei itu kembali berada di hadapan dengan kelebihan empat mata (10-14) tetapi semangat juang tinggi jelas meresap dalam tubuh pasangan muda Malaysia tersebut.

Kecemerlangan itu diterusnya hingga membolehkan mereka mengesahkan kemenangan dengan 21-19 untuk sekali lagi merasai pengalaman di pentas separuh akhir pada tahun ini.

Selain pertemuan sesama sendiri melibatkan dua pasangan negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula alan bertemu wakil tuan rumah, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dalam acara beregu campuran.