Gandingan beregu campuran semakin meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan rentak cemerlang dalam Kejohanan Terbuka Taipei 2023 apabila baharu sahaja mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Baca Juga:

Pada aksi yang berlangsung di Arena Tian-mu, University of Taipei itu, Tang Jie-Ee Wei dilihat tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan wakil tuan rumah, Yang Po-Hsuan-Hub Ling Fang dengan ‘straight set’ 21-15, 21-14.

Diletakkan dalam senarai antara ‘anggota’ program Road To Gold (RTG) yang diperkenalkan Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha merintis pingat emas pertama Sukan Olimpik, pasangan yang kini di tangga ke-19 dunia itu tidak memandang ke belakang lagi selepas mendahului 6-5 pada set pertama untuk menang 21-15.

Kecemerlangan itu diteruskan pada set kedua apabila mereka bangkit daripada ketinggalan 0-2 dan kemudiannya mempamerkan aksi penuh bertenaga bagi mematikan slot separuh akhir diidamkan menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-14.

Kemenangan bermakna ke atas beregu nombor 30 ranking dunia itu menyaksikan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan menanti rakan senegara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing yang akan berhadapan dengan pilihan kelima kejohanan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin.

Selain wakil dalam beregu campuran, kem negara turut meletakkan harapan di bahu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Yeoh Seng Zoe (perseorangan lelaki) untuk mara ke separuh akhir Terbuka Taipei 2023 dan mereka akan beraksi sebentar lagi.